suria

Transformasi Pengajian Tinggi Negara Di Landasan Betul - Khaled

SEPANG: Transformasi pengajian tinggi negara dalam Fasa Pertama Pelaksanaan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) iaitu Fasa Perletakan Asas yang akan berakhir hujung tahun ini berada di landasan betul, kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini.

Menteri Pengajian Tinggi itu berkata bagi mengukuhkan lagi pelaksanaan PSPTN, elemen keusahawan akan dilaksanakan sebagai tambahan kepada 21 projek agenda-agenda kritikal (CAPs) sedia ada.

Beliau berkata walaupun komponen keusahawan telah digabung dalam program-program lain seperti "Pembangunan Holistik Pelajar" serta "Pembelajaran dan Pengajaran", namun itu tidak mencukupi untuk memberi ketampakan aspek keusahwanan bagi menggambarkan kepentingan ekonomi negara masa kini.

"Ini kerana untuk mentransformasikan negara kepada negara berpendapatan tinggi, keusahawanan ialah satu elemen amat penting untuk menghasilkan lonjakan yang diperlukan dan mewujudkan ekonomi domestik kompetitif."

"Malah keusahawanan juga berkait rapat dengan inovasi yang kepentingannya terhadap perkembangan ekonomi tidak dinafikan," katanya ketika merasmikan Seminar Perkongsian Aktiviti Pelaksanaan PSPTN di sini.

Mohamed Khaled berkata pelaksanaan bagi lebih separuh daripada CAPs yang terkandung dalam pelan transformasi, adalah di peringkat IPTA, politeknik dan kolej komuniti.

Ini bermakna kejayaan PSPTN bukan hanya bergantung kepada pelaksanaan pada peringkat pusat sahaja malahan memerlukan pembabitan aktif sebahagian besar warga institusi pengajian tinggi (IPT) negara, katanya.

Komponen keusahawanan merupakan CAP ke-22, tambahan daripada CAPs sedia ada setakat ini.

PSPTN merupakan satu usaha mentransformasikan pengajian tinggi negara bagi melahirkan modal insan kelas pertama yang memainkan peranan utama bagi merealisasikan wawasan Malaysia bertaraf negara maju.

CAPs merupakan penggerak atau sebagai satu pelan tindakan bagi memastikan aktiviti yang dilaksanakan berdasarkan kaedah terbaik untuk mencapai objektif ditetapkan dalam konteks sesuatu IPT. - BERNAMA

Artikel Lain