suria

Muhyiddin Mahu Pelajar IPT Berfikiran Terbuka Bantu Integrasi Kaum

MUAR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu agar para pelajar institusi pengajian tinggi berfikiran terbuka untuk membantu mempercepatkan proses intergrasi kaum di negara ini.

Menurut beliau, ini penting untuk memastikan matlamat Malaysia menjadi sebuah negara maju mengikut acuan sendiri menjelang tahun 2020, tercapai.

"Kita mahu masa depan negara dibangunkan mengikut tuntutan zaman yang kini terdedah kepada pelbagai pengaruh melalui dasar maya terbuka. Kita harus memupuk kerjasama walaupun kita dari masyarakat yang berbeza-beza," katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika melancarkan Program Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM) Perdana 2010 anjuran Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Fakulti Pergigian Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam di Kompleks Sukan Pagoh di sini hari ini.

Program tersebut dijayakan oleh Gerakan Belia 4B Malaysia Johor dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) cawangan Johor serta dihadiri 1,000 pelajar universiti tersebut.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran yakin, program seumpama itu dapat menyumbang ke arah menjayakan matlamat kerajaan di dalam proses integrasi kaum di negara ini.

Beliau turut berharap, mahasiswa dan mahasiswi yang terlibat dapat menjadikan program tersebut untuk memantapkan diri mereka menjadi insan yang sempurna.

Ini kerana, katanya, untuk menjadi insan yang sempurna, mereka tidak sahaja perlu mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang tetapi juga disertai dengan akhlak dan peribadi mulia.

"Saya berharap mereka juga mengambil kesempatan mendekati masyarakat, menyelami masalah mereka di samping membantu membantu kerajaan dalam membangunkan masyarakat di luar bandar," katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain