suria

Universiti Diminta Tidak Ketatkan Peraturan Sudut Pidato

Selepas lebih 20 tahun, Sudut Pidato kembali ke Universiti Malaya (UM) apabila ia dirasmikan semula oleh Saifuddin Abdullah di Kuala Lumpur hari ini. Foto The Star
Selepas lebih 20 tahun, Sudut Pidato kembali ke Universiti Malaya (UM) apabila ia dirasmikan semula oleh Saifuddin Abdullah di Kuala Lumpur hari ini. Foto The Star
Selepas lebih 20 tahun, Sudut Pidato kembali ke Universiti Malaya (UM) apabila ia dirasmikan semula oleh Saifuddin Abdullah di Kuala Lumpur hari ini. Foto The Star

KUALA LUMPUR: Pihak universiti diminta bersikap liberal dan tidak mengenakan banyak peraturan terhadap penuntut yang ingin membuat pengucapan awam di sudut pidato, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Sebaliknya, mereka perlu mengggunakan kebijaksanaan dan kaedah terbaik bagi memastikan kewujudan semula sudut itu di universiti membawa perubahan positif kepada penuntut khususnya dalam meningkatkan kemahiran pengucapan awam.

"Sudut pidato adalah platfom yang sesuai untuk melahirkan mahasiswa yang berkaliber serta mempunyai kemahiran insaniah seperti berpidato dan berfikir secara kritis.

"Saya bimbang jika terlalu banyak peraturan dikenakan ini akan mematikan hasrat mereka dalam meluahkan pelbagai idea sekaligus melenyapkan minat mereka dalam pengucapan awam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan semula Sudut Pidato di perkarangan Kompleks Perdanasiswa Universiti Malaya di sini hari ini.

Beliau juga berkata, hala tuju politik di kampus harus ditentukan oleh mahasiswa dan tidak perlu campur tangan daripada pihak lain kerana mereka mempunyai pandangan dan hasrat mereka yang tersendiri.

"Suara mahasiswa perlu didengari. Sudah pasti mereka mempunyai pelbagai pendapat dan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu isu tetapi janganlah kita terlalu cepat melabelkan mahasiswa itu pro-pembangkang apabila mereka tidak bersetuju dengan sesuatu hal," katanya.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaya, Prof Madya Datuk Dr Azarae Idris pula berkata, pihak unversiti itu sedang merangka satu garis panduan bagi menentukan kaedah terbaik bagaimana para penuntut boleh mendapat manfaat yang positif daripada sudut pidato itu.

"Kita akan kaji dari sudut isi kandungan pengucapan yang bagaimana yang dibenarkan. Kita di sini mempunyai pelajar antarabangsa daripada lebih 80 negara dan ini yang kita mahu pastikan agar ucapan oleh para penuntut tidak menyalahi sensitiviti agama, politik dan hubungan dua hala antara dua negara," katanya.

Ketika ditanya sama ada pihak universiti itu akan mengenakan tindakan terhadap mahasiswanya yang ditangkap ketika menyertai demonstrasi perhimpunan membantah proses pilihan raya kampus, beliau berkata, ia bergantung kepada laporan yang dibuat oleh polis.

"Kes tersebut masih dalam siasatan polis dan kita akan bertindak berdasarkan laporan polis. Tetapi jika ada tindakan dibuat ia tidaklah sampai melarang penuntut daripada menduduki peperiksaan," katanya.

Dalam kejadian Sabtu lepas polis menahan sembilan mahasiswa daripada pelbagai universiti di sekitar Lembah Klang yang menyertai perhimpunan membantah proses pilihan raya kampus di ibu negara. - BERNAMA

Artikel Lain