Pelanggan Sanggup Tunggu Sejam Untuk Putu Piring Ahmir - Jamu Selera | mStar

Pelanggan Sanggup Tunggu Sejam Untuk Putu Piring Ahmir

Pelanggan gerai putu piring Ahmir rela beratur untuk membeli hidangan yang digemari sepanjang Ramadan ini.

PETALING JAYA: Menunggu sehingga sejam untuk membeli putu piring tidak dianggap bebanan buat pelanggan hidangan itu di bazaar Ramadan Taman Tun Dr Ismail di sini.

Malahan, mereka sedia beratur sambil menyaksikan kemahiran penjual menghasilkan putu piring dengan pantas untuk kepuasan pelanggan.

Setiap kali menjelang Ramadan, orang ramai mula beratur dari pukul 3.30 petang dan berterusan sehingga pukul 7 malam.

Pemilik gerai, Mohamad Ahmir berkata, sepanjang bulan puasa, dia dapat menjual sekurang-kurangnya 2,200 putu piring sehari.

"Kadang kala ada beberapa pelanggan yang pulang dengan tangan kosong," katanya.

Mengenai resipi putu piring itu, katanya, ia diwarisi sejak tiga generasi keluarganya yang berasal dari Melaka.

"Semuanya bermula pada 1969 apabila mak saya mula menjual makanan ini semasa berusia 12 tahun menggunakan resepi yang diturunkan nenek," katanya.

Selepas berkahwin, ibunya berpindah ke Kuala Lumpur dan mula menjual putu piring di Setapak dan ketika itu Mohamad Ahmir berusia lima tahun.

Selepas 30 tahun, pemuda yang kini berusia 35 tahun itu mengambil alih perniagaan tersebut untuk membolehkan ibunya berehat.

"Saya mengambil masa sehingga tiga tahun untuk mengubah resepi ini dengan bantuan rakan-rakan," katanya.

Richard Raj, yang menunggu selama sejam berkata, penantian itu sememangnya berbaloi.

"Ini adalah putu piring yang paling sedap di kawasan ini, rasanya manis dan teksturnya lembut," kata lelaki berusia 30 tahun itu.

Zizie Ismail, 40 pula berkata, hidangan ini merupakan juadah kegemaran suaminya.

"Putu piring ini tidak terlalu tebal dan tidak terlalu manis.

"Selalunya saya tidak sanggup menunggu terlalu lama tetapi kali ini suami saya berkenan untuk merasai putu piring ini," katanya.


Artikel Sebelum

Ayam Semur

Artikel Berikut

Ayam Tumis Cili

Lebih Artikel

Kematian kanggaru 'sado' ditangisi