suria

Teknologi analitik data raya asas pelaksanaan inisiatif kerajaan masa depan – Saifuddin Nasution

Kerajaan berjaya menstabilkan harga petrol RON95 pada harga RM2.08 seliter, yang dinikmati oleh rakyat secara subsidi. Foto AZMAN GHANI

PROGRAM Subsidi Petrol merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah melalui pengagihan semula subsidi petrol.

Ia adalah satu bentuk bantuan kewangan untuk membantu rakyat membiayai sebahagian kos penggunaan petrolnya.

Sebagaimana Bantuan Sara Hidup (BSH) yang turut diperkenalkan kerajaan, ia merupakan satu pelaksanaan subsidi bersasar, iaitu rakyat Malaysia golongan B40 pendapatan isi rumah kurang dari RM4,000 sebulan. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, menerusi pengumuman Belanjawan 2020 baru-baru ini, kerajaan memperluaskan subsidi petrol bersasar meliputi sebahagian besar M40 iaitu golongan berpendapatan sederhana. 

“Jika BSH mensasar kira-kira 10 juta golongan B40, subsidi petrol pula menyasarkan 7.5 juta golongan B40 dan M40 yang menepati kriteria pemilikan kenderaan berdaftar dengan JPJ.  

“Sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan beban golongan ini,” ujar beliau.

Saifuddin Nasution. Foto MOHD SAHAR MISNI

Kerajaan berjaya menstabilkan harga petrol RON95 pada harga RM2.08 seliter sejak Mei 2018, yang dinikmati oleh semua rakyat secara subsidi pukal pada peringkat pertama janji manifesto selepas mengambil alih pemerintahan.

Bagi membuat semakan untuk mengetahui kelayakan menyertai Program Subsidi Petrol yang akan bermula pada Januari 2020, layari https://psp.kpdnhep.gov.my/

Saifuddin berkata, semasa menjalankan program subsidi petrol tersebut, kementerian telah menggunakan teknologi Analitik Data Raya (BDA) yang menggabungkan data daripada pelbagai sumber seperti BSH, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan e-Kaseh. 

Sejak itu, kementerian menjadikan pembuatan keputusan berasaskan data atau data driven decision making sebagai satu polisi kementerian.  

“Kementerian sangat yakin BDA adalah metodologi masa depan yang mesti digunakan untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif kerajaan agar semua inisiatif tersebut betul-betul menepati golongan yang disasarkan di samping meningkatkan penjimatan dari ketirisan yang banyak berlaku dalam ‘inisiatif-inisiatif bersubsidi pukal’ yang lalu,” katanya.

Saifuddin berkata demikian bagi merujuk pengenalan subsidi pukal yang merupakan amalan lama, yang mana lebih dinikmati golongan di luar daripada sasaran berpendapatan rendah seperti golongan berada, kenderaan komersial dan rakyat asing serta ada juga yang diseludup ke luar negara. 


Kerajaan mahu memastikan hanya golongan sasar rakyat menikmati subsidi petrol. Foto SAM THAM

Beliau berkata, kerajaan mahu memastikan hanya golongan sasar rakyat yang benar-benar memerlukan bantuan dan perlindungan yang menikmati subsidi petrol dan mengurangkan kebocoran dalam pembayaran subsidi pukal petrol sedia ada, menerusi inisiatif Program Subsidi Petrol (PSP).

Justru dari pengalaman menggunakan teknologi BDA dalam perlaksanaan projek PSP, Saifuddin amat yakin kerajaan akan dapat mencapai hasil yang optima jika teknologi BDA itu digunakan di inisiatif-inisiatif kerajaan yang lain.

Saifuddin menjelaskan bahawa melalui data tol, kerajaan dapat mengenal pasti golongan mana yang sebenarnya menggunakan tol.

“Jika data penggunaan tol dari kad touch&go dan plusmiles digabungkan dengan data pemilikan kenderaan dan tempat tinggal pemilik kenderaan daripada JPJ, pasti kita akan dapat tahu siapa sebenarnya yang banyak atau sering menggunakan tol dan tentunya memudahkan untuk buat keputusan sama ada penghapusan tol itu wajar dari segi ‘cost-benefitnya’ atau kita laksanakan subsidi bersasar membantu golongan yang terkesan dengan menggunakan tol.

“Kita selalu prihatin dengan rakyat yang menggunakan bas perkhidmatan awam tetapi kita tidak pasti siapa yang sebenarnya mendapatkan keuntungan dari perkhidmatan tersebut apatah lagi jika ianya diberikan secara percuma. Data laluan bas perkhidmatan awam dan jumlah serta siapa penumpang yang sering menggunakannya pasti dapat membantu perlaksanaan jadual dan laluan yang optima.

“Di sesetengah tempat, kenderaan awam lebih dinikmati oleh pendatang asing dan bukannya rakyat Malaysia sendiri. Jika ini berterusan, subsidi itu tidak menepati sasarannya,” ujar beliau.


Kerajaan dapat mengenal pasti golongan mana yang sebenarnya menggunakan tol. Foto SHAARI CHEMAT

Menurut Saifuddin, analitik data raya harus digunakan sebelum melancarkan sesuatu program untuk murid sekolah bagi mengenal pasti golongan yang seharusnya layak untuk diberikan bantuan dan yang benar-benar menghargai program bantuan tersebut.

Jelasnya, sebagai contoh, kerajaan boleh mengelakkan pembaziran dan ketirisan dengan mensasarkan pemberian sarapan kepada murid yang benar-benar layak dan memerlukan tanpa perlu menyediakan makanan untuk semua murid secara keseluruhan. 

“Dengan berbuat demikian, kerajaan akan dilihat bukan hanya sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan peduli-rakyat tetapi juga bijak dalam membantu kumpulan sasar yang tepat.

“Pada masa sama penjimatan daripada pembaziran dan kebocoran dapat digunakan untuk membiayai banyak lagi program peduli-rakyat,” katanya.

Saifuddin berkata, kerajaan akan terus mencari lebih banyak cara yang berkesan untuk menangani isu kenaikan kos sara hidup yang membebankan rakyat. 

“Kerajaan mempunyai banyak data yang berharga dan daripada data tersebut, inisiatif penting yang berorientasikan peduli-rakyat dapat dilaksanakan untuk menepati sasaran yang betul dan pada masa sama mengurangkan kos daripada kebocoran dan penyalahgunaan yang tidak perlu.

“Kita berharap ini akan menyumbang kepada banyak program di masa depan menepati pelan pembangunan mampan dan berdaya maju,” ujar Saifuddin.

Artikel Lain