suria

Populasi penduduk kunci utama PSKL2040

Pengurusan trafik antara isu yang dibincangkan semasa merangka PSKL2040.

KADAR pertumbuhan penduduk di Kuala Lumpur dijangka meningkat sebanyak 1.05 peratus setiap tahun dan angkanya diramal mencecah 2.25 juta menjelang 2040.

Angka ini termasuk kelahiran baharu dan penghijrahan penduduk negeri lain ke ibu negara.

Daripada jumlah penduduk keseluruhan, kira-kira 60 peratus adalah golongan bekerja, manakala selebihnya terdiri daripada golongan pesara dan juga kanak-kanak.

Hari ini seluruh ibu negara Kuala Lumpur mempunyai 1.9 juta penduduk.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelan pembangunan KL... inilah harapan warga kota

ARTIKEL BERKAITAN: Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

Datuk Bandarnya, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata angka itu hanya mewakili jumlah penduduk sekitar ibu kota.

“Pada hari ini, bandar raya ini menerima kira-kira empat juta penduduk dari luar Kuala Lumpur seperti suburban di Selangor untuk bekerja,” katanya.

Manakala, Pengarah Eksekutif (Perancangan) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Nurazizi Mokhtar berkata, kadar pertumbuhan penduduk merupakan kriteria utama apabila merangka pelan pembangunan di ibu kota itu.

Nurazizi menerangkan mengenai PSKL2040.

“Antara keprihatinan utama adalah peningkatan trafik, keperluan perumahan mampu milik dan kemudahan awam yang baik.

“Kami juga perlu memastikan terdapat peluang pekerjaan yang mencukupi untuk menampung peningkatan jumlah penduduk,” katanya.

Nurazizi berkata penting bagi DBKL untuk memberi tumpuan kepada kadar pertumbuhan penduduk bagi memastikan perkhidmatan disediakan sewajarnya.

Katanya lagi, DBKL mematuhi Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267) dalam merangka Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040).

Nurazizi menjelaskan akta itu amat unik kerana ia hanya digunapakai di Kuala Lumpur, berbeza seperti negeri-negeri lain di Semenanjung yang bergantung kepada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.

“Tidak seperti negeri-negeri lain di Semenanjung yang ditadbir kerajaan negeri dan dewan tempatan masing-masing, Kuala Lumpur berada dibawah bidang kuasa Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Oleh itu, struktur pentadbiran DBKL sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) berbeza dengan PBT di negeri lain,” katanya.

Perumahan mampu milik antara yang turut diambil kira dalam PSKL2040.

Nurazizi berkata PSKL2040 mematuhi pelan struktur dan pelan tempatan.

“Pelan struktur menggariskan objektif dan cadangan untuk pembangunan, penggunaan tanah, persekitaran, aspek sosial dan pengurusan trafik.

"Sementara itu, pelan tempatan menggariskan kertas cadangan terperinci bagi lokasi tertentu di bandaraya ini,” katanya.

Nurazizi berkata sebaik sahaja draf pertama pelan tempatan selesai, ia akan dibuka untuk pendengaran awam.

"Orang ramai dijemput untuk mengemukakan bantahan dan menyediakan input mengenai draf tersebut.

"Ini termasuk individu, persatuan penduduk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan serta perniagaan, antara lain.

"Sebuah lembaga penasihat khas yang terdiri daripada bekas kakitangan awam dan tokoh-tokoh terkemuka akan mengkaji semula input dan mengemukakan cadangan kepada Datuk Bandar untuk pemindaan draf itu,” katanya.

Populasi penduduk Kuala Lumpur dijangka 2.25 juta menjelang 2040.

Ahli-ahli lembaga penasihat khas itu dilantik oleh Menteri Wilayah Persekutuan.

Tambah Nurazizi lagi, 20 surat tawaran sudah dihantar untuk pelantikan ahli baharu dengan 13 bersetuju bagi jawatan itu.

"Berdasarkan cadangan lembaga itu, pihak utama akan menyerahkan draf pindaan itu kepada kementerian untuk diwartakan,” katanya lai.

Beliau menambah, ketika merancang pelan tempatan pada 2008, DBKL menerima 62,224 bantahan termasuk perkara berkaitan trafik, kemudahan awam dan perumahan.

"DBKL telah mengadakan 138 pendengaran awam untuk mengumpul input dan lima pertanyaan tempatan untuk menyiasat beberapa perkara.

"Tempoh bantahan itu juga dilanjutkan selama sembilan bulan, mulai 4 September 2008 hingga 29 Mei 2009.

"DBKL komited untuk memasukkan input awam ke dalam draf itu," katanya.

Nurazizi berkata orang ramai boleh menyuarakan bantahan dalam bentuk bertulis mengenai PBRKL2020.

Nurazizi menambah, penyertaan masyarakat dalam perancangan amat penting kerana ia memberi pihak berkepentingan semangat kebersamaan.

“Penduduk KL boleh terlibat secara langsung dalam perancangan dan pembangunan bandar," katanya sambil menambah bantahan mesti dibuat dalam bentuk bertulis.

Orang ramai boleh melihat dan memberi maklum balas serta cadangan mengenai draf pelan tempatan pertama bagi Kuala Lumpur dikenali sebagai Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (PBRKL2020) sehingga 2 Disember di Jabatan Perancangan Bandar di Aras 13, ibu pejabat DBKL di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Maklum balas dan cadangan boleh dihantar ke DBKL dalam bentuk e-mel bersurat ke klmycity2040@ gmail.com.

DBKL menjemput semua warga kota untuk memberikan maklum balas bagi draf Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 menerusi penglibatan orang awam, perbincangan kumpulan fokus dan sesi town hall.

Semua pandangan juga boleh dihantar menerusi e-emel ke [email protected] and laman web Pelan Pembangunan Kuala Lumpur: dbkl.gov.my/klmycity2040 atau halaman Facebook ‘Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040’.

Artikel Lain