suria

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

Prof Ir Dr Wan Azhar (duduk, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif (ECERDC), Baidzawi Che Mat bersama Ketua Pegawai Eksekutif Technical University Munich International GMBH Jerman, Daniel Gottschald menandatangani dokumen disaksikan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (berdiri, dua dari kanan) ketika lawatan rasmi ke Jerman, baru-baru ini.

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

Naib Canselornya, Prof Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff percaya TVET akan menjadi lebih penting berbanding sebelum ini dalam dunia yang berkembang pesat.

Beliau berkata, ia dibuktikan apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggariskan agenda untuk memperkasakan TVET dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

“Sebagai salah satu universiti Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), UMP akan menerajui sebagai institusi utama bagi TVET dengan menawarkan program aras tinggi.

“Jadi apakah kelebihan TVET berbanding dengan program sains dan kejuruteraan tradisional?

“TVET memberikan pulangan yang lebih tinggi kerana kemahiran yang dipelajari pelajar lebih bertahan lama dibandingkan dengan kajian teoretikal. Sebagai contoh, kemahiran belajar untuk membina mesin biasanya lebih kekal berbanding dengan pengetahuan bagaimana mesin berfungsi,” katanya dalam satu wawancara sempena majlis Istiadat Konvokesyen UMP ke-14.

Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Pekan, Pahang. Foto ONG HAN SEAN

Prof Ir Dr Wan Azhar menambah, dunia kini menuju ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), di mana banyak pekerjaan tidak akan diwujudkan pada masa depan disebabkan oleh automasi itu.

Oleh yang demikian katanya, tenaga kerja masa depan seharusnya berasaskan pengetahuan yang bukan sahaja untuk aplikasi tetapi juga mengurus dan memelihara teknologi.

“TVET akan menyesuaikan transformasi baharu ini berbanding dengan kajian teori yang mungkin tidak dapat digunakan dengan serta-merta. Dari segi piramid tenaga kerja, kita sebenarnya memerlukan lebih ramai pakar teknologi daripada saintis, jurutera dan ahli falsafah,” ujarnya.

Beliau berkata, peranan UMP dalam hal ini adalah melahirkan graduan dengan keupayaan untuk meningkatkan keupayaan teknikal negara.

“Keupayaan teknikal negara kita dapat dipertingkatkan menerusi universiti-universiti MTUN. Jangan harap universiti kita untuk memenangi Hadiah Nobel kerana kita menjalankan model yang berbeza.

“Masyarakat juga mesti mempunyai jangkaan yang tepat apabila melihat program TVET. Pelajar kita tidak semestinya perlu terpelajar tetapi mereka berkeupayaan tinggi dalam memacu industri,” katanya.

Bagi tujuan itu, kata Prof Ir Dr Wan Azhar, UMP komited terhadap inovasi dan keunikan dalam menawarkan program akademik menerusi perkongsian strategik antarabangsa.

“Paradigma pendidikan pada hari ini perlu dikaji semula dan memberi tumpuan kepada bidang-bidang yang perlu difikirkan semula dalam teknologi baharu yang berkembang pesat dan maklumat yang begitu banyak,” katanya.

Pada masa ini, UMP dan Jabatan Pendidikan Tinggi menganjurkan satu forum yang bertujuan untuk menghimpunkan pengamal, penyelidik dan pakar bidang bagi membincangkan isu-isu kualiti dan cabaran kursus pembelajaran dalam talian (MOOC) dalam landskap e-pembelajaran abad ke-21.

Sesi bertukar dokumen MoU disaksikan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. 

Pencapaian baru-baru ini menyaksikan UMP disenaraikan dalam kedudukan antara 301 dan 500 dalam Kebolehpasaran Graduan QS 2020 dengan mengambil kira reputasi majikan, hasil alumni, kerjasama dengan majikan, hubungan majikan-pelajar dan kadar kebolehpasaran graduan.

Dari segi kriteria kerjasama dengan majikan, UMP berada pada kedudukan ke-71 di dunia dan menduduki nombor satu di Malaysia.

Menurut beliau lagi, bagi mempersiapkan peralihan besar, UMP akan berubah menjadi perusahaan sosial pada tahun-tahun yang mendatang.

“Universiti-universiti Malaysia perlu berubah menjadi model ini. Kita perlu mula menjana pendapatan dan mewujudkan pembiayaan.

“Apabila kita mempunyai geran dan pembiayaan sendiri, maka kita boleh menjadi kurang kebergantungan kepada kerajaan, dan kemudian kita boleh meminta lebih banyak autonomi,” katanya dalam menjelaskan visi UMP.

Prof Ir Dr Wan Azhar turut memberitahu bahawa UMP bekerjasama dengan Pusat Kecemerlangan Asia untuk Teknologi Pintar (ACES) di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dalam bidang berkaitan IR 4.0, teknologi pintar dan inisiatif digital melibatkan aktiviti pembangunan sumber manusia.

Berdasarkan kerjasama itu, beberapa projek akan dilaksanakan seperti pengkomersialan produk, program eksekutif 4.0 serta program latihan teknikal dan vokasional.

Prof Ir Dr Wan Azhar (lima, kanan) dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, Datuk Ir Dr Siti Hamisah Tapsir (enam, kanan) bersama delegasi dari Korea, Jepun, Filipina dan Thailand  sempena The ASEM MOOC Stakeholders' Forum 2019 di Hotel Zenith Putrajaya, baru-baru ini.

ACES merupakan pusat kerjasama antara Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Technical University Munich International GmbH Germany dalam menghubungkan agensi kerajaan dengan industri dan universiti untuk meningkatkan kemahiran, latihan teknologi pintar dan perundingan yang berkaitan dengan pendigitalan dan automasi dalam IR 4.0.

“UMP akan terus maju sebagai pemain global bagi mencapai misi dan visinya. Kita berada pada kedudukan yang terbaik sebagai universiti MTUN dalam memperkasakan TVET di negara ini.

“Pihak universiti akan terus mempertingkatkan prestasi dan amalan terbaik bagi memperkukuhkan pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan bertaraf dunia dalam ekosistem kejuruteraan dan teknologi yang lebih kreatif dan inovatif yang dapat memanfaatkan rakyat di negara ini,” kata Prof Ir Dr Wan Azhar.

Seramai 3,782 graduan akan menamatkan pengajian pada Sabtu (16 November) dan Ahad (17 November) pada majlis Istiadat Konvokesyen UMP ke-14.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga merupakan Canselor UMP akan menyempurnakan istiadat konvokesyen tersebut.

Artikel Lain