suria

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

(dari kiri) Yusof, Ketua/Pengarah Operasi Air Selangor, Abas Abdullah, Suhaimi dan Mat Bidal mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai pertandingan 'Be A Water Conservation Warrior'. Foto AZLINA ABDULLAH

BAYANGKAN kehidupan harian kita tanpa air? Semua hidupan sama ada manusia, haiwan atau tumbuhan tidak dapat hidup tanpa air. Tidak dinafikan, air merupakan keperluan yang amat penting dalam kehidupan. 

Walaupun air adalah keperluan yang paling asas, tetapi kebanyakan orang menganggapnya sebagai akses yang mudah dengan hanya membuka paip.

Menurut statistik 2017 yang dilaporkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), setiap rakyat Malaysia menggunakan air secara purata 201 liter sehari.

Di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sahaja, penggunaan air dilaporkan sebanyak 222 liter sehari bagi setiap orang, yang mana lebih 30 peratus daripada 165 liter yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Sehubungan itu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam usahanya yang berterusan untuk mengurangkan penggunaan air berlebihan, telah melancarkan kempen jimat air Be A Water Conservation Warrior bagi memupuk kesedaran masyarakat mengenai penjimatan air.

Amirudin (dua, kanan) dan Suhaimi (tiga, kanan) melancarkan kempen Be A Water Conservation Warrior.

Kempen Pendidikan dan Pemeliharaan Sumber Air itu dilancarkan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari di Padang Awam Batu Caves di Gombak, yang bertujuan untuk memupuk sikap menjimatkan air dalam kalangan pengguna.

“Air Selangor telah menjalankan pelbagai usaha penjimatan air sejak dua tahun lalu di peringkat daerah.

“Setakat ini, kita telah melancarkan 22 program penjimatan air yang mana 13 daripadanya dilaksanakan dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), manakala selebihnya kita bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi.

“Kita menyedari betapa pentingnya untuk mempertingkatkan usaha penjimatan air ke peringkat seterusnya bagi mencapai jangkauan yang lebih luas, dengan melancarkan kempen jimat air Be A Water Conservation Warrior,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman.

Suhaimi Kamaralzaman.

Beliau turut menegaskan bahawa penggunaan air di negara ini adalah tinggi, jika dibandingkan dengan negara-negara jiran.

“Singapura menepati angka yang disyorkan oleh WHO iaitu 165 liter perkapita sehari, manakala Thailand mencatatkan penggunaan air sebanyak 193 liter perkapita sehari.

“Sejajar dengan sasaran SPAN untuk mengurangkan penggunaan air per kapita kepada 180 liter menjelang akhir 2020, kita menyasarkan 217 liter perkapita sehari dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Penurunan lima liter air itu mungkin tidak banyak tetapi ia memberi impak besar. Ia sukar untuk dicapai tanpa kesedaran terhadap penjimatan air dalam kalangan masyarakat mengenai nilai air dan rasa tanggungjawab terhadap penggunaan air secara bijak,” katanya.

Hadirin pada majlis pelancaran kempen Be A Water Conservation Warrior di Padang Awam Batu Caves, Gombak.

Setiap titik dikira

Bagi menunjukkan betapa besarnya impak penjimatan air yang sedikit, Ketua Perkhidmatan Pengebilan Pelanggan Air Selangor, Yusof Saroji berkongsi contoh pengurangan satu liter air per kapita sehari di Taman Batu Caves di Sungai Tua.

“Kawasan tersebut mempunyai kira-kira 13,000 akaun domestik, di mana penggunaan air secara purata dari 1,200 akaun atau 5,256 pengguna adalah 37,047 meter padu, bersamaan dengan 234 liter perkapita sehari.

“Jika 5,256 pengguna ini dapat mengurangkan penggunaan air satu liter seorang sehari, jumlah air yang disimpan setiap hari bersamaan dengan tangki air Air Selangor sebanyak 5,265 liter! Ini menjadikan setiap titik air dikira,” jelas Yusof.

Yusof Saroji.

Setakat ini, Air Selangor telah melaksanakan program bersama 13 daripada 56 Adun, untuk berkongsi kaedah penjimatan air dan juga mengedarkan bidal air kepada pengguna domestik.

“Antara 300 hingga 500 jidal air diagihkan di setiap lokasi,” ujar Yusof, sambil menambah ia boleh menjimatkan sehingga 15 peratus bil air apabila bidal air dipasang pada saluran paip.

Orang ramai boleh mendapatkan jidal air secara percuma di mana-mana 10 pejabat Air Selangor atau hubungi 15300 bagi mendapatkan keterangan lanjut.

Kaedah penjimatan air

Yusof turut berkongsi tentang cara mudah untuk menjimatkan air, termasuk mematikan paip semasa memberus gigi atau mencukur, mencuci atau membilas pinggan serta mencuci tangan atau muka.

Bagi penjimatan air, pengguna boleh beralih kepada penggunaan penyiram air atau baldi untuk mencuci kereta, daripada menggunakan hos.

Orang awam boleh mendapatkan bidal air secara percuma di mana-mana 10 pejabat Air Selangor atau hubungi 15300 untuk keterangan lanjut.

Perbezaan ketara dalam penjimatan air juga dapat dilihat menerusi kaedah mengehadkan penggunaan mesin basuh kepada dua kali seminggu atau apabila bebanan basuhan telah penuh.

“Salah satu sebab utama pembaziran air juga berpunca daripada kebocoran paip. Oleh itu, anda perlu sentiasa memeriksa bekalan air dan membaikinya dengan kadar segera,” kata Suhaimi.

Pertandingan jimat air

Bersempena dengan kempen tersebut, Air Selangor menawarkan ganjaran kepada orang ramai untuk menjimatkan air menerusi pertandingan Be A Water Conservation Warrior, dengan hadiah berkaitan dengan penjimatan air bernilai RM200,000.

Pertandingan ini berlangsung dari 15 Oktober 2019 sehingga 15 Januari 2020.

1. Like/Follow FB dan Instagram rasmi Air Selangor

2. Muat naik Video berdurasi maksimum satu minit atau E-Poster bertajuk ‘Jimat Air’.

3. Dapatkan sebanyak mungkin Like dan Share.

4. Tetapkan profil anda kepada mod umum (public).

5. Masukkan kapsyen paling kreatif dan masukkan tanda pagar #beawaterconservationwarrior serta tag profil Air Selangor di ruangan kapsyen.

Sekumpulan pelajar bergambar bersama Mat Bidal.

Maklum balas awam

Sebagai meneruskan usaha untuk memperbanyakkan penglibatan masyarakat dalam penjimatan air, Air Selangor memperkenalkan empat adiwira animasi iaitu Ir Adam, Dr Kim, Eo Hafiz dan Mat Bidal.

Selain itu, majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan bidal air kepada sembilan wakil kampung di kawasan sekitar.

Ahli Jawatankuasa Taman Selayang, Mohd Azri Abd Rahman memuji langkah Air Selangor menganjurkan program mendidik orang ramai mengenai penjimatan air dan cara menjimatkan air.

“Saya pernah mendengar tentang bidal air tetapi tidak pernah menggunakannya. Sekarang saya tahu manfaatnya, dan saya pasti akan berkongsi maklumat ini bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Semua pihak perlu memainkan peranan dalam penjimatan air sebelum terlambat,” katanya.

Mohd Azri (kiri) dan Jamil menunjukkan bidal air.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Kertas, Jamil Azaman Razak bersetuju dengan pandangan Mohd Azri bahawa pendidikan mengenai penjimatan air amat penting dalam masyarakat.

“Angka berkaitan penggunaan air ternyata memberi kesedaran kepada kita. Hanya program seumpama ini kita boleh berkongsi faedah bidal air bersama orang lain, dan tindakan kecil  yang boleh kita ubah dalam rutin harian untuk menjimatkan air.

“Saya merancang untuk mengadakan taklimat mengenai penjimatan air sebelum solat Jumaat supaya orang ramai diingatkan supaya menggunakan air secara berhemah,” katanya. 

Artikel Lain