Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda! - Klik | mStar

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat yang dianjurkan oleh Putrajaya Holdings buat julung kalinya mencatatkan banyak kejayaan, sekali gus membuka laluan kepada perlumbaan yang lebih besar pada masa depan.

Bertempat di Kompleks Sukan Air Putrajaya, Putrajaya Oxygenation Boat Race 2019 merupakan penganjuran Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) selaku pemaju utama Putrajaya, yang menarik lebih 900 peserta.

Acara tersebut terdiri daripada lima kategori iaitu Terbuka sebagai acara utama, Campuran, Wanita, Antara Bank dan Antara Universiti.

ARTIKEL BERKAITAN: Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

Secara keseluruhan, sebanyak 37 syarikat dan 85 pasukan mengambil bahagian dalam acara itu.

Pengerusi penganjur, Mhd Zaini Mohd Mukhtar berkata, sesuatu yang positif menyaksikan penyertaan daripada pelbagai industri seperti bank dan syarikat penerbangan.

“Perlumbaan yang paling menarik adalah perlumbaan Antara Bank, menyaksikan saingan sengit antara Standard Chartered dan Maybank memecut ke garisan penamat. Saya percaya Standard Chartered menang tipis dalam perlumbaan.

“Apa yang lebih penting ialah maklum balas positif daripada pengurus pasukan. Mereka sangat gembira dapat mengambil bahagian kerana kakitangan mereka menjalani latihan yang baik selain pasukan yang bersemangat. Syarikat-syarikat  yang bersaing turut bersama-sama menunjukkan persaingan sihat sepanjang acara itu. 

“Kita mahukan lebih banyak penyertaan pasukan korporat untuk bersaing mengikut industri tertentu pada tahun depan. Sebagaimana perlumbaan Antara Bank yang menjadi tarikan, kita mahu menganjurkan perlumbaan antara syarikat penerbangan, insurans dan telekomunikasi. Kebanyakan syarikat ini turut menyokong keseimbangan antara kerja dan kehidupan serta gaya hidup sihat.

“Kita juga melihat untuk memperluaskannya kepada penyertaan antarabangsa. Kita boleh mengadakan perlumbaan khas untuk kategori itu. Kita juga mahu perlumbaan untuk syarikat-syarikat korporat lain di dalam dan luar Putrajaya,” katanya.

Pemenang-pemenang bagi perlumbaan utama - tempat pertama, PJC (tengah); tempat kedua, Standard Chartered (kanan) dan tempat ketiga, KPMG selepas menerima pingat, trofi dan hadiah wang tunai.

Zaini berkata, pihaknya akan mencari jalan untuk menyediakan latihan dan membangunkan lebih banyak pasukan pada masa akan datang.

“Perlumbaan perahu naga dianggap baharu bagi kebanyakan pasukan di Malaysia. Ramai tidak mempunyai pendedahan yang meluas berikutan kos tinggi untuk latihan dan kemudahannya. Saya telah bercakap dengan beberapa syarikat untuk membantu menaja perahu panjang. Jika logistik ditaja, kos menjadi lebih rendah, dan kita boleh mengadakan lebih banyak latihan.

“Saya menggalakkan syarikat-syarikat untuk menggunakan kemudahan yang ada bagi mereka melakukan aktiviti team building dalaman. Daripada situ, syarikat dapat mengesan bakat dan memilih pendayung yang terbaik untuk mewakili syarikat.

“Dengan pendayung yang terbaik dan lebih banyak latihan, pastinya perlumbaan pada tahun depan bakal menjadi lebih mencabar serta menarik,” katanya.

Penasihat Putrajaya Oxygenation Boat Race 2019, Aminah Baba berkata, mereka bangga apabila perlumbaan itu berjaya menarik 15 pasukan wanita, antaranya daripada RHB Bank, Universiti Multimedia dan UiTM Shah Alam.

“Kita berhasrat untuk menjadikan kategori wanita sebagai salah satu perlumbaan utama pada tahun-tahun berikutnya. Kita berbangga dapat menggalakkan wanita untuk mengambil bahagian dalam sukan yang mencabar ini,” katanya.

Sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara, PjH menjemput Pink Challengers, satu pasukan perlumbaan perahu naga yang disertai oleh bekas pesakit kanser payudara untuk bersaing dalam kategori wanita.

Aminah (hadapan, kanan) bersama Mhd Zaini (hadapan, kiri) pemenang-pemenang bagi kategori Wanita.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr Aminuddin Hashim berkata, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu perlu dicatatkan sebagai tumpuan dunia bagi sukan air.

“Kita mempunyai salah satu tasik buatan manusia yang paling indah, jadi kita mahu 'menjual' tarikan itu.

“Kita mempunyai siri acara sukan sebelum ini, seperti Festival Air Putrajaya termasuk perlumbaan perahu naga komuniti, Putrajaya Oxygenation Boat Race 2019 dan IWWF Waterski World Championships.

“Kita mempunyai kemudahan, kepakaran dan pengalaman untuk menganjurkan acara sukan air. Kita amat yakin untuk menganjurkan acara yang lebih besar pada masa akan datang,” katanya.

Pengurus pasukan Pink Challengers, Margaret Gabriel berkata, penyertaan mereka juga bertujuan untuk menyebarkan kesedaran kanser payudara dan kepentingan untuk mengesannya di peringkat awal.

“Menerusi pergerakan badan semasa melakukan aktiviti perahu naga, ia membantu dalam pemulihan kanser payudara dan limfoedema, di mana benjolan telah dikeluarkan.

“Pink Challengers yang ditubuhkan pada 2005, merupakan salah satu aktiviti Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA) yang bukan sahaja membolehkan kaum wanita melalui proses pemulihan yang lancar, bahkan menggalakkan gaya hidup aktif yang sihat.

“Kami gembira dijemput untuk menyertai acara ini walaupun kami bukan sebuah syarikat dan menghargai usaha PjH dalam menyokong inisiatif kami,” katanya.

Mhd Zaini Mohd Mukhtar.

Pengurus budaya dan masyarakat Kumpulan AirAsia, Yvonne Lady Diana John Brian Anthony berkata, amalan ‘mempercaya sesuatu yang sukar dipercayai’ merupakan kunci kejayaan mereka.

“Dengan dua pasukan yang dibentuk hanya tiga hari sebelum perlumbaan dengan tiga pusingan latihan, kami melakukan sehabis baik.

“Kebanyakan kami merupakan pelari ultramaraton dan dilatih untuk agresif sehingga ke garisan penamat tanpa mengira kesukaran yang dialami. Kami tidak melakukan dengan baik di peringkat permulaan dan tertinggal di belakang pada 150 meter pertama tetapi kami tidak berputus asa sehingga berjaya memenangi kategori campuran,” katanya.

“Perlumbaan itu mengajar kami untuk tidak tergugat dengan orang lain dan meletakkan kepercayaan dalam diri dengan masing-masing mewakili pelbagai bahagian dalam organisasi. 

“Perahu hanya dapat bergerak pantas apabila semua bersama-sama beradu tenaga,” katanya sambil menambah kemenangan mereka membuktikan bahawa kepercayaan adalah lebih penting daripada pengalaman dan kepakaran.

Pasukan wanita daripada UiTM Shah Alam meraih tempat pertama dalam kategori Wanita.

Presiden kelab sukan, sosial dan rekreasi Standard Chartered Malaysia, Peh Mui Sim berkata, mereka amat gembira bergelar juara dalam kategori Antara Bank dan naib juara dalam perlumbaan kategori Terbuka.

“Hadirin bersorak kepada pasukan kami semasa perlumbaan Antara Bank ketika kami dalam saingan sengit bersama pasukan lain,” ujarnya.

“Kami menyokong sepenuhnya aktiviti seumpama ini kerana ia mewujudkan rangkaian peluang dan menggalakkan orang ramai untuk bersosial dengan rakan industri mereka di luar waktu kerja.

“Secara dalaman, sukan itu juga mencipta peluang kepada semua daripada pelbagai jabatan di bank untuk berlatih dan berinteraksi antara satu sama lain. Ia memperkukuhkan nilai kerja berpasukan kerana dalam acara perahu naga, setiap ahli pasukan perlu sekuat tenaga. Masing-masing perlu berusaha keras atau perahu tidak akan bergerak.

“Setiap orang perlu mengayun secara serentak untuk menggerakkan perahu ke depan, sebagaimana setiap orang mempunyai peranan penting di bank dan bekerjasama untuk maju,” katanya.

Presiden Kelab Sukan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT), Ean Yaacob berkata, sukan tersebut menarik lebih banyak penyertaan kakitangannya.

“Kami berjaya menggandakan bilangan pasukan pada tahun ini. Peserta belajar bagaimana bekerjasama sebagai satu pasukan untuk mencapai matlamat mereka. Kami menantikan perlumbaan pada masa akan datang,” katanya.

Pasukan Pink Challengers bersedia untuk menyertai perlumbaan.

Mengenai insiden perahu terbalik semasa perlumbaan bagi kategori Campuran, Ean berkata, ia memberi pengajaran kepada mereka dan peserta lain agar memastikan masing-masing mengimbangi kedudukan tempat duduk.

“Syukur semua memakai jaket keselamatan yang merupakan keperluan keselamatan. Jadi mereka terapung sehingga diselamatkan,” katanya.

Ketua Komunikasi Korporat PjH, Mohd Hafiz Abdul Ghani berterima kasih kepada semua yang terlibat terutama syarikat yang menyertai perlumbaan, pegawai, kakitangan dan sukarelawan di atas usaha dan bantuan bagi menjayakan acara tersebut.

“Sambutannya amat luar baisa. Ia menjadi aktiviti yang menarik buat kebanyakan mereka yang datang bersama keluarga dan rakan-rakan untuk menyaksikan perlumbaan ini dan memberi sokongan kepada para peserta,” katanya.

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

Artikel Lain