suria

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

Jurang ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar dihadapi negara. - Gambar Sekadar Hiasan


JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

Laporan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memberi gambaran kasar mengenai situasi ini yang wujud dalam pembangunan Malaysia termasuk bagaimana jurang di antara golongan berada dan miskin telah berkembang sejak dua dekad lalu.

Data dari Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan perbezaan di antara pendapatan bulanan median T20 (20 peratus isi rumah) berbanding B40 (40 peratus isi rumah) telah meningkat lima kali ganda daripada RM1,935 pada 1989 kepada RM10,148 pada 2016.

Laporan itu turut menyatakan purata gaji bulanan lebih daripada 60 peratus pekerja berkemahiran rendah di Malaysia di bawah RM1,947.

Sebagai perbandingan, pekerja mahir memperoleh gaji bulanan purata lebih daripada dua kali ganda angka tersebut atau RM4,573.

Perbezaan di antara pendapatan bulanan median T20 (20 peratus isi rumah) berbanding B40 (40 peratus isi rumah) telah meningkat lima kali ganda daripada RM1,935 pada 1989 kepada RM10,148 pada 2016.

Berhubung jurang pendapatan yang semakin luas di antara kumpulan etnik, laporan itu berkata, pada 1989, perbezaan pendapatan di antara bumiputera dan Cina berjumlah RM497 sebulan.

Angka itu bagaimanapun meningkat sebanyak 3.5 kali kepada RM1,736 pada 2016. Laporan itu menambah walaupun sumbangan keseluruhan bumiputera kepada Keluaran Dalam Negeri (KDNK) direkodkan pada 46 peratus, namun angka sebenar hanya 28 peratus selepas ditolak syarikat berkaitan kerajaan.

Laporan itu turut menyatakan bumiputera juga tertinggal dalam sektor pekerjaan profesional terpilih serta sumbangan komuniti kecil dan perusahaan skala sederhana kepada ekonomi.

Purata gaji bulanan lebih daripada 60 peratus pekerja berkemahiran rendah di Malaysia di bawah RM1,947.

Sebagai contoh, semua pekerjaan profesional kecuali doktor gigi dikuasai oleh bukan bumiputera. Jurang antara kaum India dan Cina juga telah meningkat daripada RM286 sebulan pada 1989 kepada RM1,154 pada 2016.

Perbezaan yang semakin besar itu juga boleh dilihat di antara pendapatan penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar dan bandar yang mana pada 1989, jurang pendapatan median bagi isi rumah adalah RM419.

Angka itu meningkat lebih daripada lima kali ganda kepada RM2,389 pada 2016.

Ketidaksamaan juga wujud di antara sumbangan pendapatan pekerja Malaysia kepada KDNK berbanding dengan negara lain.

Sebagai contoh, WKB 2030 menyatakan sumbangan Pampasan Pekerja (CE) kepada KDNK Malaysia masih rendah berbanding negara maju.

Artikel Lain