Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat - Klik | mStar

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

Rakyat mahu diberikan lebih banyak peluang pekerjaan. Gambar sekadar hiasan. Foto AZHAR MAHFOF/The Star

KEDUDUKAN kewangan yang baik sentiasa menjadi cabaran sebenar dan rakyat Malaysia segenap lapisan menantikan rancangan kerajaan yang mampu menaik taraf kehidupan mereka.

Rakyat mengharapkan satu dasar ekonomi baharu diperkenalkan dan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 meliputi pelan tindakan yang tepat bagi mendengar suara rakyat.

Antara aspirasi masyarakat adalah memecah monopoli dan keuntungan bagi menstabilkan harga barang keperluan dan mendapat lebih banyak peluang latihan untuk menaik taraf diri mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

Rozita Radzal, penjual kuih dan air minuman bersama suaminya di Kuantan berkata, mereka mahu menjadi ahli perniagaan yang berjaya dan berharap latihan dalam pengurusan perniagaan dan kewangan dapat disediakan di bawah WKB 2030.

Berusia 33 tahun, dia yang menantikan dasar ekonomi baharu tersebut berharap WKB 2030 akan menaik taraf kehidupan keluarganya seramai sembilan orang, sekali gus keluar dari kumpulan B40.

Pendapatan bersih harian mereka hanya kira-kira RM100 dan perniagaan terjejas sekiranya cuaca buruk.

Keluarganya juga mengalami masalah apabila anak keenam mereka, Maya Alisha berusia 19 bulan menghidap penyakit jantung berlubang. 

Peluang pekerjaan bukan sahaja untuk graduan yang menganggur tetapi untuk mereka yang diberhentikan kerja. Gambar sekadar hiasan

Harvinder Singh Dhanjit Singh dari Seremban, Negeri Sembilan menggesa kerajaan supaya memberi perhatian terhadap golongan pekerja yang diberhentikan, dan bukan hanya memberi tumpuan kepada kadar pengangguran dalam kalangan graduan yang meningkat.

Pada usianya 53 tahun ini, dia kehilangan pekerjaan sebagai penasihat kanan di sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) di Cyberjaya pada Februari lalu dan hingga kini tidak mendapat jawatan 7setaraf disebabkan faktor usia.

Keadaan itu juga menyebabkan dia sanggup menerima gaji yang lebih rendah dan melakukan kerja-kerja lain.

“Kerajaan sentiasa boleh menyediakan insentif kepada majikan yang menggaji mereka yang dahulunya diberhentikan kerja, terutama mereka yang berusia 50an yang sering dipinggirkan kerana kekurangan peluang pekerjaan,” ujar Harvinder, yang kini melakukan kerja sambilan sebagai pemandu e-hailing untuk meneruskan kehidupan.

Di Pulau Pinang, pemilik bengkel kereta, Chan Kok Hoe, 42, berkata, tanggapan bahawa mereka yang tinggal di kawasan bandar mempunyai kehidupan yang baik adalah tidak tepat.

“Contohnya di Pulau Pinang, segelintir orang menganggap mereka yang duduk di pulau adalah lebih kaya, manakala penduduk di tanah besar lebih miskin.

“Tapi daripada apa yang saya lihat, secara umumnya mereka yang tinggal di tanah besar lebih selesa sementara kebanyakan penduduk di pulau dilihat selesa, tetapi mereka sebenarnya banyak hutang,” kata Kok Hoe, yang menetap di Juru di Seberang Prai Tengah  dan mengusahakan bengkel di pulau.

Tambahnya, pelancongan luar bandar akan menjadi kaedah terbaik untuk kampung-kampung mendapat manfaat daripada golongan yang suka bercuti dalam negara.

Bagaimanapun katanya, penduduk di luar bandar perlu dilatih mengenai pembangunan pelancongan dan strategi peruncitan.

Koay Chia Chia, 24, yang berketurunan Peranakan Nyonya berpandangan, pendidikan awam perlu diselaraskan dengan memperluaskan peluang berkenaan.

“Kerajaan seharusnya menaik taraf infrastruktur dan arkib maklumat di universiti-universiti.

“Saya berharap kerajaan juga akan menyediakan latihan pekerjaan profesional yang terancang untuk graduan muda bagi membantu mereka memperoleh pekerjaan pertama,” kata Chia Chia, yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Pengurusan Ekonomi dari Universiti Sains Malaysia (USM), baru-baru ini.

Pendidikan awam perlu diselaraskan.

Sementara itu, di Kuching, Sarawak, penolong pengurus gedung, Andy John, 28, berharap kerajaan akan menyediakan peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengasah kemahiran  dan memenuhi potensi mereka.

“Saya ingin menjalani latihan mengenai bagaimana untuk menguruskan perniagaan kerana pengurusan adalah sesuatu yang saya lakukan sekarang.

“Jika saya mempunyai peluang untuk mengusakan perniagaan sendiri suatu hari nanti, kenapa tidak?” kata pemuda iyang berasal dari keluarga Iban-Bidayuh ini.

Di Petaling Jaya, seorang pengusaha gerai sate, Irawan Edy Saman berharap kerajaan mengurangkan bilangan pekerja asing di negara ini88 bagi memastikan lebih banyak peluang pekerjaan diberikan kepada rakyat Malaysia dan mengurangkan aliran wang ke luar negara.

“Pada masa sama, kita juga perlu menggalakkan golongan muda, terutama graduan supaya tidak memilih pekerjaan,” katanya yang berusia 37 tahun.

Pengusaha kedai runcit, S. Savathri, 45, berharap harga barangan dapat dikawal supaya orang tengah tidak boleh menyalahgunakan sistem untuk memperoleh keuntungan.

Tambahnya, harga bawang sebelum ini adalah kira-kira RM3 hingga RM4 setiap satu kilogram, tetapi sekarang harganya hampir sekali ganda.

Albianie Tracy yang berasal dari masyarakat etnik Dusun di Ranau, Sabah berkata, aspek yang paling penting adalah menghubungkan jurang ekonomi antara penduduk bandar dan luar bandar di Sabah, dan antara Sabah dan Semenanjung Malaysia.

“Walaupun kerajaan sering mengatakan ia tidak dapat memberikan 20 peratus royalti minyak dan tuntuan 40 peratus daripada hasil Sabah, sekurang-kurangnya memberi kita lebih banyak peruntukan untuk pembangunan dan kegunaan lain,” ujar ibu berusia 34 tahun itu.

Albianie yang merupakan ejen kenderaan itu turut memberitahu bahawa bagi menaik taraf kehidupan masyarakat, latihan praktikal atau kursus seperti teknologi pertanian yang dapat membantu masyarakat dan relevan dengan keperluan di Sabah, perlu diperbanyakkan.

Rozita Ginsui, 35, dari masyarakat Dusun di Kota Belud pula berkata, lebih banyak kursus dan pembangunan diri perlu diadakan untuk melatih pelbagai kemahiran termasuk perniagaan, pemasaran dalam talian, pertanian dan keusahawanan.

“Diharapkan semua hasrat murni ini dapat menjadikan satu tindakan yang berjaya,” katanya.

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

Artikel Lain