Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu - Klik | mStar

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

WKB 2030 memberi tumpuan kepada penstrukturan semula ekonomi dan merapatkan jurang besar antara golongan kaya dan sangat miskin.

WUJUD jurang pendapatan dan kekayaan di Malaysia, dan menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) yang bakal diperkenalkan, ekonomi negara akan distruktur semula ke arah lebih progresif, rancak dan mampan.

Ketika ini, dilema yang berlaku adalah mengenai ketidaksamarataan antara kumpulan pendapatan, etnik, bandar, luar bandar dan serantau serta rantaian bekalan.

Apakah sasaran utama WKB 2030 yang akan dilaksanakan bagi tempoh 10 tahun bermula 2021?

Sudah pasti mewujudkan taraf hidup yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia.

Model ekonomi negara masih belum memberikan impak sepenuhnya dari penggunaan bakat dan sumber tenaga, menyebabkan nilai tambah rendah dan kepelbagaian yang terhad.

Justeru, terdapat keperluan untuk melakukan perubahan dari ekonomi buruh dan berkemahiran rendah kepada pengetahuan dan ekonomi berasaskan masa depan.

Berikut adalah fakta yang anda perlu tahu mengenai WKB 2030:

*WKB 2030 memberi tumpuan kepada penstrukturan semula ekonomi, merapatkan jurang besar antara golongan kaya dan sangat miskin.

*Ia bertujuan untuk mewujudkan negara keusahawanan di mana peluang dikenal pasti dan penciptaan kekayaan ekonomi adalah sektor yang diterajui swasta ke arah nilai tambah.

*Kemakmuran itu kemudian dikongsi dengan cara lebih adil dan saksama dalam kalangan rakyat yang secara aktif mengambil bahagian dalam proses penciptaan kekayaan baharu.

*Malaysia akan terus mengalami pertumbuhan mampan dan saksama di setiap peringkat rantaian nilai, tanpa mengira kelas, bangsa dan lokasi geografi.

*Ini akan mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kerajaan memperkenalkan WKB 2030 agar pembangunan dan kekayaan seharusnya diagih lebih adil agar dirasai semua rakyat.

WKB 2030 turut menggariskan 7 teras strategik iaitu:

1. Pengstrukturan dan penambahbaikan ekosistem perniagaan dan industri negara.

2. Sektor pertumbuhan baharu.

3. Reformasi bakat dan sumber tenaga negara.

4. Memperbaiki pasaran buruh dan pendapatan pekerja.

5. Memperkukuhkan kesejahteraan sosial.

6. Pembangunan wilayah yang inklusif.

7. Peningkatan modal sosial masyarakat.

Selain tujuh teras strategik dalam WKB 2030 yang digariskan oleh Tun Dr Mahathir Malaysia pada Mei lalu, perdana menteri turut memaklumkan agihan kekayaan yang tidak sekata dan tidak adil perlu diatasi atau ia boleh membawa kepada kemudaratan.

Beliau menekankan bahawa terdapat jurang besar antara bandar dan luar bandar dan beberapa negeri yang kaya manakala ada yang sangat miskin.

“Kita menghadapi masalah dengan prestasi beberapa kumpulan etnik, contohnya Bumiputera, termasuk di Sabah dan Sarawak. Mereka agak miskin berbanding kaum lain yang tinggal di tempat lain.

“Semua perkara ini diteliti, dan kita berpandangan adalah perlu untuk mengagihkan semula kekayaan dengan cara yang adil kerana jika terdapat jurang besar, maka akan ada tentangan dan percanggahan yang boleh mencetuskan kekecohan,” kata Dr Mahathir, baru-baru ini.

Dr Mahathir menggariskan tujuh teras strategik dalam WKB 2030.

Walaupun menangani masalah kemiskinan tegar menjadi perhatian, jauh lebih berkesan adalah pelaksanaan dasar untuk menangani kemiskinan relatif, kumpulan yang terkesan dan mereka yang mempunyai kurang simpanan persaraan dan jaminan kewangan.

Berdasarkan kajian, 68 peratus rakyat Malaysia yang bersara pada usia 55 tahun tidak mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM240,000 dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka.

Sebilangan mereka hanya mempunyai kira-kira RM50,000 di dalam akaun KWSP.

Dianggarkan 70 peratus daripada mereka yang membuat pengeluaran wang KWSP juga akan menggunakan simpanan itu dalam tempoh lima hingga 10 tahun.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan hampir lima juta pekerja separa mahir memperoleh pendapatan bulanan secara purata RM1,947.

Pekerja berkemahiran rendah atau tidak berkemahiran pula memperoleh purata pendapatan bulanan kira-kira RM1,531.

Bagi pekerja berkemahiran yang terdiri daripada lebih tiga juta tenaga pekerja, pendapatan bulanan purata adalah RM4,573.

Pada 2018, 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah dari Kuala Lumpur dan Selangor, manakala Kelantan, Kedah, Pahang, Sarawak dan Sabah hanya mencatatkan 25 peratus kadar KDNK.

Sehubungan itu, WKB 2030 yang bakal dilancarkan pada Sabtu ini akan memberi tumpuan untuk merapatkan jurang pendapatan antara negeri, golongan yang kaya dengan miskin serta penduduk bandar dan luar bandar.

Inisiatif tersebut bukan lagi pembangunan yang tidak hanya dinilai melalui angka, sebaliknya pembangunan dan kekayaan seharusnya diagih lebih adil agar dirasai semua rakyat.

Sama-sama kita menyokong usaha ini bagi memastikan matlamat WKB 2030 mampu direalisasikan untuk rakyat seluruh pelusuk negara.

Artikel Berkaitan

Klik

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

Artikel Lain