suria

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

Bermula 13 September 2019, Air Selangor menjadi pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Tanpa air bersih maka terjejaslah rutin harian pengguna, tak kiralah yang tinggal di bandar atau di desa.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) terus komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik dalam merawat dan mengagihkan air bersih kepada penduduk khususnya di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.

Amirudin (kiri) menyerahkan kad identiti dengan logo baharu Air Selangor kepada Suhaimi pada majlis perasmian Air Selangor sebagai pemegang Lesen Tunggal Perkidmatan Bekalan Air di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. -foto Bernama

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman berkata ke arah mencapai objektif ini, kehendak pengguna sentiasa menjadi keutamaan, justeru perancangan dan strategi untuk meningkatkan mutu perkhidmatan harus dilakukan dengan betul supaya ia dapat dilaksanakan dengan sempurna.

"Saya seorang pengguna, saya perlu lihat dari perspektif pelanggan, apa yang dimahukan daripada operator air.

"Sebagai pelanggan mereka mahukan bekalan air bersih tanpa gangguan, ini merupakan perkara utama dan kita akan lihat infrastuktur yang kita ada untuk menyampaikan apa yang mereka mahu," katanya.

Komitmen berterusan ini dinyatakan selepas syarikat ini berjaya menjadi pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 13 September 2019.

Catat sejarah

Tanggal 13 September 2019 ini mencatat sejarah setelah pelbagai usaha diambil bagi melaksanakan penstrukturan industri pembekalan air dengan melalui pelbagai cabaran.

Ramai tidak tahu usaha ini telah bermula seawal tahun 2008 apabila Kerajaan Negeri Selangor memberi mandat kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) bagi mengetuai dan melaksanakan penyatuan industri air yang ketika itu dijalankan oleh syarikat-syarikat konsesi berbeza sama ada di peringkat rawatan atau agihan.

Kakitangan bergambar di hadapan logo baharu Air Selangor. -foto THE STAR/S.S.Kanesan

Pelbagai usaha telah diambil bagi melaksanakan penstrukturan industri pembekalan air di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya termasuk menyedia dan mengajukan kertas-kertas cadangan dan tawaran – tawaran pengambilalihan kepada syarikat-syarikat konsesi.

Namun usaha ini menemui kegagalan sehinggalah pada tahun 2014, hasrat untuk melakukan penstrukturan ini kembali menampakkan sinar apabila Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Air Selangor bekerjasama selepas kesepakatan dicapai dan Perjanjian Utama ditandatangani pada 12 September 2014.

Hasilnya PNSB Water Sdn Bhd (PNSB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) berjaya diambil alih pada 15 Oktober 2015.

Ia diikuti dengan Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS) pada 31 Disember 2015 dan Konsortium Air Selangor Sdn Bhd diambil alih pada 11 Mac 2016.

Amirudin (dua, kanan) diberi penerangan oleh Ketua Jabatan Pengagihan Air Selangor Kelvin Siew (kanan) ketika melawat Intelligent Command Centre (ICC) Air Selangor. -foto Bernama

Dengan muktamadnya pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) pada 24 April 2019, maka sempurnalah sudah pengambilalihan kesemua syarikat-syarikat konsesi air di Selangor dengan kos RM 4.197 bilion.

Ini membolehkan Air Selangor mengajukan permohonan bagi mendapatkan lesen tunggal untuk merawat dan mengagih air terawat kepada pengguna di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Pencapaian dan penyelesaian penstrukturan ini amat bermakna dalam industri perkhidmatan bekalan air.

"Air Selangor akan menjadi operator tunggal perkhidmatan bekalan air yang akan melaksanakan aktiviti rawatan dan agihan air secara holistik serta dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada peningkatan tahap keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan," kata Suhaimi yang pasukannya dibantu oleh seramai 4,500 kakitangan.

Manfaat buat pengguna

Dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri, keutamaan Air Selangor adalah merawat dan menyalurkan air bersih kepada 11 juta pengguna di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kesemua pengguna mahukan perkhidmatan lebih baik serta mendapat manfaat apabila kerja-kerja merawat dan mengagih air diletakkan di bawah satu bumbung.

Amirudin menandatangani plak Intelligent Command Centre (ICC) Air Selangor. -foto THE STAR

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata beliau percaya penstrukturan ini akan membolehkan kerja-kerja naik taraf dilakukan dengan lebih berkesan sekali gus memberi manfaat kepada rakyat Selangor.

"Kita ada perancangan yang komprehensif untuk pastikan pengagihan air ke Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dilakukan secara holistik dan dapat dilaksanakan dengan baik. Kita kini ada satu badan yang bertanggungjawab terhadap air, dari merawat kepada pengagihan," katanya.

Amirudin juga memberi jaminan masalah paip pecah dan tekanan air rendah akan diselesaikan dengan cara yang lebih cekap dan cepat.

"Mungkin sebelum ini kita tak ada mekanisme kawalan, dengan sistem yang kita ada, kita dapat memantau lokasi paip-paip pecah berdasarkan laporan yang diberikan dan mengambil tindakan segera," katanya.

Dengan penambahbaikan yang telah mula dilaksanakan, Amirudin juga memberikan contoh di sebalik insiden paip pecah yang disebabkan oleh pihak ketiga baru-baru ini, nisbah kekerapan paip pecah berdasarkan kepada jumlah paip pecah per 100 kilometer telah menunjukkan penurunan dari 20 kes pada tahun 2016 kepada 13 kes pada tahun 2018. Pencapaian ini juga merupakan praktis terbaik (Best Practise) yang digunapakai oleh industri air di negara-negara lain.

Berdasarkan statistik setengah tahun pertama 2018 (Januari hingga Jun), jumlah kes paip pecah adalah sebanyak 2,032 kes dan menunjukkan penurunan berdasarkan tempoh masa yang sama pada tahun 2019 dengan jumlah kes sebanyak 1,510.

"Ini menunjukkan ada peningkatan yang signifikan terhadap usaha-usaha yang kita lakukan," katanya.

Langkah awal dan inisiatif yang dilaksanakan


Amirudin (tiga, kiri) bersama Suhaimi (dua, kiri) ketika Majlis Penyerahan Loji Rawatan Air Labohan Dagang di Kuala Langat, Jun lalu. -foto Bernama

Kerajaan Negeri telah mengambil langkah awal membina dan menyiapkan dua loji rawatan air baharu iaitu Loji Rawatan Air Semenyih 2 dan Loji Rawatan Air Labohan Dagang dengan jumlah kos RM800 juta bagi meningkatkan rizab margin air terawat di Selangor.

Kerajaan Negeri juga menyalurkan bantuan dalam bentuk geran dan pinjaman sebanyak RM324.3 juta kepada Air Selangor bagi melaksanakan kerja-kerja penggantian paip lama melebihi 438km di Selangor dan Kuala Lumpur.

Dalam masa yang sama, Air Selangor telah membelanjakan sebanyak RM 1.1 bilion sepanjang tempoh 2016 hingga 2018, bagi menaiktaraf dan membaikpulih pelbagai aset dan infrastruktur bekalan air. Ini termasuk membaikpulih loji-loji rawatan air, kolam air, rumah pam dan kerja-kerja penggantian paip serta program pengurangan air tidak berhasil (NRW).

Bagi jangka masa panjang Air Selangor telah merangka dan merancang pelaksanaan kerja-kerja kapital secara berterusan melalui pelan perniagaan 30 tahun dengan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM30 bilion.

Bil Air Selangor

Apabila Air Selangor secara rasmi menjadi pemegang lesen tunggal pada 13 September 2019, pelanggan-pelanggan akan mula menerima bil Air Selangor bermula pada tarikh tersebut. Walaubagaimanapun tiada perubahan dalam terma dan syarat perjanjian perkhidmatan bekalan air sedia ada.

Air Selangor juga memperkenalkan logo baharu yang melambangkan komitmen syarikat dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan-pelanggannya.

Artikel Lain