suria

Air Selangor terima Anugerah Cemerlang NCOSH 2018 bagi kategori kemudahan air

Pasukan Air Selangor yang berjaya mendapatkan Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2018 kategori kemudahan air.

KOMITMEN Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja terbukti apabila pejabat Wilayah Gombak Air Selangor dipilih sebagai pemenang Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2018 kategori kemudahan air baru-baru ini.

Anugerah ini adalah anjuran Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NCOSH) bagi mengiktiraf organisasi yang mempamerkan rekod pencapaian yang cemerlang dalam melaksanakan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.

Pengarah dan Ketua Operasi Air Selangor, Ir Abas Abdullah, menerima piala dan sijil anugerah cemerlang keselamatan dan kesihatan pekerjaan daripada Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail di Majlis Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2018 yang berlansung pada 27 Februari 2019. 

Turut hadir pada majlis ini adalah M.Kulasegaran selaku Menteri Sumber Manusia.

Ir Abas Abdullah (kanan) menerima piala dan sijil Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan daripada Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail.

Kemenangan Air Selangor dalam Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan bagi tahun 2018 ini adalah kesinambungan kepada anugerah-anugerah keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang diterima oleh loji-loji rawatan air serta pejabat-pejabat Air Selangor sejak tahun 2007 lagi.

Pemenang anugerah sebelum ini adalah Loji Rawatan Air Wangsa Maju yang menerima Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan kategori kemudahan air bagi tahun 2007, 2013 dan 2015.

Air Selangor turut menyokong Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (DKKPN) dan yang dilancarkan oleh Dr Wan Azizah pada majlis tersebut dan amat komited dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan menerusi pengurusan risiko yang mampan di tempat kerja untuk melindungi warga kerjanya.

Air Selangor juga telah memperkenalkan inisiatif-inisiatif untuk melindungi hak asasi pekerja dalam mendapatkan persekitaran pekerjaan yang selamat, sihat dan kondusif.

Air Selangor, NCOSH

Artikel Lain