Loji Rawatan Air Selangor diiktiraf sebagai Pusat Bertauliah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) - Klik | mStar

Loji Rawatan Air Selangor diiktiraf sebagai Pusat Bertauliah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN)

Warga kerja Air Selangor menzahirkan kegembiraan setelah menerima sijil SKM-PPT masing-masing.

LOJI Rawatan Air Sungai Semenyih mendapat pengiktirafan sebagai Pusat Bertauliah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.

Dengan pengiktirafan ini Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) selaku operator air yang terbesar di negara ini akan dapat mengendalikan latihan kemahiran melalui pusat bertauliahnya sendiri bagi melahirkan tenaga kerja yang kompeten dan berkualiti di dalam industri pembekalan air, termasuk memberikan latihan kepada operator-operator air lain di negara ini. 

Latihan kemahiran yang akan dilaksanakan adalah berdasarkan Piawaian Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan atau National Occupational Skills Standard (NOSS). Pengiktirafan ini diterima pada Oktober 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman menerima sijil pengiktirafan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran, dalam Majlis Penganugerahan Sijil Kemahiran Malaysia bagi Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT) baru-baru ini.

Suhaimi Kamaralzaman menerima sijil pengiktirafan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih sebagai Pusat Bertauliah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) daripada
Dr. Aruna Ismail dari Jabatan Pembangunan Kemahiran.


Seramai 346 warga kerja Air Selangor yang berkhidmat di Jabatan Operasi, Pengagihan dan Perhubungan Pelanggan juga menerima sijil SKM-PPT masing-masing di majlis tersebut.

Pengiktirafan ini adalah di antara usaha berterusan Air Selangor dalam membentuk warga kerja yang berkemahiran serta kompeten untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada syarikat dan juga pelanggan.

Air Selangor amat komited dalam memenuhi keperluan kompetensi di dalam industri perkhidmatan air di negara ini dengan menjadikan kompetensi sebahagian daripada parameter Petunjuk Prestasi Utama (KPI) syarikat.

“Ini sejajar dengan ketetapan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang menetapkan kompetensi sebagai syarat untuk memperbaharui lesen syarikat perkhidmatan industri air di Malaysia, tambah beliau.

Kumpulan penerima sijil terbaharu ini adalah sebahagian daripada 481 warga kerja Air Selangor yang telah mendapat pengiktirafan ini setakat kini.

Dalam perancangan bagi tahun hadapan, Air Selangor mensasarkan sebanyak 50 peratus warga kerja Jabatan Pengeluaran dan 30 peratus lagi warga kerja Jabatan Pengagihan untuk menjalani program ini. 

Menjelang penghujung 2019, dianggarkan sebanyak lebih 600 warga kerja Air Selangor berjaya mendapatkan pensijilan yang bakal membantu mereka melaksanakan kerja dengan lebih efektif.

Pengiktirafan dengan pensijilan ini juga merupakan antara pelan kerjaya strategik Air Selangor dalam membangunkan warga kerjanya bagi mencapai misi syarikat untuk menyampaikan pengalaman yang terbaik kepada pelanggan.


Air Selangor , NOSS , SLDN

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Manchester United terbuka jual Lukaku