Penggantian paip usang bagi menjamin bekalan berterusan kepada pelanggan - Klik | mStar

Penggantian paip usang bagi menjamin bekalan berterusan kepada pelanggan

Paip Polietilina Ketumpatan Tinggi yang baharu (kiri) dan Simen Asbestos yang usang.

AIR Selangor sedang melaksanakan program penggantian paip untuk menukar paip usang yang sering bocor atau pecah.

Salah satu sebab berlakunya gangguan bekalan adalah kerana paip usang yang kerap pecah atau bocor, dan untuk mengurangkan kejadian sedemikian, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd  telah memperkenalkan program penggantian paip usang sejak ia mengambil alih industri perkhidmatan bekalan air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pada Oktober 2015.

Air Selangor bertanggungjawab menyelenggara rangkaian paip sepanjang 28,613 kilometer.

Rangkaian paip ini memerlukan pengawasan rapi secara berterusan terutamanya paip usang yang melebihi 30 tahun.

Apabila paip menjadi usang, kejadian paip pecah dan bocor tidak dapat dielakkan.

Kawasan-kawasan yang kerap mengalami kejadian paip pecah dan bocor ini telah dikenal pasti dan disenaraikan sebagai kawasan hotspot yang perlu diutamakan.

Sebanyak 86 hotspot telah dikenal pasti di mana paip usang sepanjang 439 kilometer akan diganti dari tahun 2016 hingga 2019 bagi mengurangkan gangguan bekalan air kepada pelanggan di kawasan-kawasan tersebut.

Kebanyakan paip yang dikenal pasti dalam kawasan hotspot ini adalah paip jenis Simen Asbestos, yang mudah terhakis kerana dibuat daripada simen dan serat asbestos yang merosot setelah lama digunakan.

Paip Simen Asbsetos ini akan diganti dengan paip generasi baharu yang lebih mantap seperti paip Keluli Lembut (MS), Klorida Plivinil Tidak Berplastik (uPVC), Polietilina Ketumpatan Tinggi (HDPE) dan paip Besi Mulur (DI).

Selain menyebabkan kesulitan kepada pelanggan apabila berlakunya gangguan bekalan air, paip yang pecah dan bocor turut menyumbang kepada kehilangan air tanpa hasil, yang menyebabkan kerugian kepada syarikat.

Oleh kerana itu, program penggantian paip usang ini bertujuan untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan dan juga untuk membantu syarikat beroperasi dengan lebih efisien.

Paip baharu yang sedia diganti.

Kerja-kerja penggantian paip ini dijalankan dengan pinjaman daripada Kerajaan Negeri Selangor berjumlah RM248.7 juta, iaitu peruntukan sebanyak RM55 juta bagi tahun 2017, RM100 juta bagi tahun 2018 dan RM93.7 juta bagi tahun 2019.

Di samping dana tersebut, program ini juga dibiayai dengan dana dalaman sebanyak RM50 juta dan dengan geran Kerajaan Negeri bernilai RM75.6 juta.

Menggunakan sumber peruntukan tersebut, Air Selangor telah berjaya menggantikan sebanyak 291.54 kilometer paip setakat bulan Disember 2018. Kerja-kerja sedang dijalankan di kawasan selebihnya dan dijangka siap pada penghujung 2019.

Kerja-kerja penggantian paip ini dijalankan secara berperingkat setelah mendapatkan kelulusan kerja daripada pelbagai agensi kerajaaan yang terlibat.

Bagi tahun 2019, tambahan 150 kilometer paip usang telah dikenal pasti untuk diganti. Air Selangor sedang dan akan terus mengenal pasti kawasan-kawasan lain yang memerlukan penggantian paip lama.

Air Selangor , paip

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

IJN terima dua mesin pengimbas baharu

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Agong bantu mangsa kemalangan