suria

BR1M Amat Bermakna Buat Keluarga Susah

Bekas penoreh getah, Ah Kiau, 80, menunjukkan baucar BR1M yang diterimanya sebelum ini.

PETALING JAYA: Kehidupan Manimaran Mariappan lebih gembira dan bahagia sejak tiga tahun lalu.

Sebelum itu, dia sering berdepan kesulitan dalam mencari sesuap nasi untuk keluarganya gara-gara kerana kesempitan hidup.

Sebagai kelindan lori, lelaki berusia 35 tahun itu hanya memperolehi RM800 setiap bulan untuk menyara enam anaknya.

Anak bongsunya baru berusia tiga bulan, manakala anak sulungnya sudah berusia 14 tahun.

Empat daripada mereka sudah bersekolah manakala dua lagi masih menyusu badan.

"Tiada kata dapat menzahirkan kegembiraan apabila saya mendapat Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).

"Saya tidak berpelajaran tetapi saya tidak mahu anak-anak mengikut jejak langkah saya," kata Manimaran.

Menurut Manimaran, dia tidak tahu bahawa dia boleh memohon bantuan tunai daripada kerajaan sehinggalah pihak MIC datang untuk membantunya.

Ketua MIC cawangan Indera Mahkota, Datuk V. Udaiyappan @Morgan berkata dia sendiri telah membawa Manimaran untuk mengisi borang permohonan bantuan.

Akhirnya, permohonan mereka diluluskan pada 2014 dan kini dia sekeluarga menikmati bantuan seperti orang lain.

Mariama memuji usaha kerajaan memberikan BR1M kepada golongan yang memerlukan.

Bermula 2012, berjuta rakyat Malaysia menikmati BR1M yang diagihkan oleh kerajaan pada setiap tahun.

Menerusi Bajet 2018, kerajaan terus komited dalam memberi agihan berkenaan kepada rakyat Malaysia.

Pembayaran pertama untuk sesi kali ini dijangka akan dibuat bermula pada suku pertama tahun hadapan.

Sebagai ketua keluraga, Manimaran kini boleh menarik nafas lega apabila peruntukan BR1M dinaikkan kepada RM1,200 setahun.

"Duit itu sangat membantu dan akan digunakan untuk membeli makanan serta barangan keperluan kami sekeluarga.

"Kami sangat berterima kasih kepada kerajaan atas bantuan ini," ujar isteri Manimaran, Mariama Khrishnan, 34.

Dia yang bekerja sebagai pekerja pembersihan memperoleh pendapatan RM1,000 sebulan untuk membantu suaminya.

Pendapatan pasangan itu yang kurang dari RM2,000 sebulan melayakkan mereka menerima BR1M.

"Saya harap bantuan wang ini akan diteruskan. Saya tak dapat bayangkan macam mana jika ia dihentikan," kata Mariama.

Mariama mendedahkan sebelum mereka menerima BR1M, ada kalanya anak-anaknya ke sekolah tanpa wang saku.

Dalam pada itu, seorang lagi penerima BR1M, Tien Sam Moi, juga bersyukur dengan bantuan itu.

Wanita berusia 60 tahun itu berkata, permohonannya pada 2012 telah ditolak.

Namun, setelah membuat rayuan, permohonannya diluluskan.

"Sejak itu, saya mendapat BR1M setiap tahun," kata Sam Moi sambil menjelaskan dia mungkin tersilap mengisi borang ketika pertama kali memohon BR1M.

Ibu kepada empat anak itu berkata, anak-anaknya sudah keluar dari kampung dan bekerja di tempat lain.

Dia kini tinggal bersama suaminya yang bekerja sebagai pengutip barangan kitar semula.

"Bantuan ini sangat bermakna buat kami. Kami tak mahu menyusahkan anak-anak sebab mereka juga ada keluarga yang perlu disara," kata Sam Moi.

Seorang pesara, Samsuri Haron berkata, bantuan itu sememangnya bermakna untuk dia membeli barangan keperluan harian.

Seperti Sam Moi, lelaki berusia 74 tahun itu juga tidak mahu menyusahkan anak-anak.

"Saya masih mampu berjalan dan bekerja untuk menyara hidup.

"Biarlah dua anak saya menguruskan keluarga mereka," katanya.

Tambahnya lagi, dia masih mampu menjaga diri dan pergi ke hospital setiap bulan untuk mengambil ubat-ubatan.

Sementara itu, ibu tunggal, Hapsa Sabu, 65, berkata, dia menggunakan BR1M untuk membeli barangan keperluan harian.

"Saya tak makan banyak sekarang, cukuplah untuk perbelanjaan bulanan saya.

"Saya juga akan simpan sikit duit itu untuk cucu-cucu saya yang masih kecil," ujar ibu kepada dua anak itu.

Tambah Hapsa, walaupun ada pihak yang mempertikaikan bantuan itu, baginya, BR1M sangat membantu kehidupannya.

"Kerajaan perlu dipuji kerana inisiatif ini.

"Ini yang kita mahukan, kerajaan yang menjaga keperluan rakyat," ujarnya lagi.

BR1M

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Siapa Jutawan Seterusnya?

Artikel Lain