suria

Fizo Omar Bakal Terbitkan Buku 'Landasan Ke Puncak'

Fizo Omar turut berkongsi pengalamannya dalam bidang perniagaan bersama peserta Seminar Peruncitan Mara 2014 di Hotel Premiera pada Rabu.

NAMA Wan Hafizol Wan Omar mungkin agak asing kepada kita. Namun jika sebut sahaja Fizo Omar pasti ramai yang terbayangkan wajah tampan pelakon dan pengacara yang sudah menceburi dunia perniagaan secara serius sejak dua tahun lalu. 

Menceritakan detik awal menceburi perniagaan Hot Burger, Fizo berkata, kisah itu bermula selepas dia nekad untuk berhenti berlakon selama enam bulan semata-mata untuk membuat pemerhatian secara serius dalam perniagaan francais burger. 

"Selama dua tahun saya buat pemerhatian secara serius dalam perniagaan menjual burger ini. Kalau anda perasaan saya juga selalu ‘tweet’ mengenai burger di twitter ketika itu.

"Daripada situ saya mendapat maklum balas bahawa ramai menggemari burger yang dijual di tepi jalan berbanding burger di restoran makanan segera. Hasil pemerhatian ini, saya mula mengorak langkah dengan membuat perancangan rapi sebelum memulakan perniagaan hot burger," katanya kepada mStar Online pada Rabu. 

Ditanya siapakah mentor beliau dalam bidang perniagaan, Fizo yang juga menantu kepada pemilik butik tudung popular Fareeda berkata jutawan terkenal, Dr Azizan Osman, tokoh korporat Datuk Dr Maznah Mazlan dan arwah ayahnya adalah mentornya. 

Idam Punya Syarikat Produksi Drama Sendiri 

Walaupun telah berjaya menjana pendapatan yang lumayan dalam bidang perniagaan, anak kelahiran Kelantan ini tidak pernah terfikir untuk berundur daripada industri hiburan. 

"Hiburan juga adalah sebahagian daripada bisnes yang menjana pendapatan kepada saya. Saya menjual bakat saya, tak ada surat yang mengatakan saya akan undur diri daripada bidang ini. 

"Satu hari, bila saya ada dana yang mencukupi saya pasti akan menerbitkan drama dan buka syarikat produksi saya sendiri. Itu impian saya,” katanya. 

Fizo memberitahu, dia juga menghadapi cabaran untuk berjaya dalam perniagaan tetapi bernasib baik kerana latar belakang sebagai selebriti memudahkan perjalanan perniagaannya. 

"Saya bukanlah artis popular di Malaysia, namun saya yakin saya boleh kumpulkan sekurang-kuranya 2.5 juta peminat di seluruh negara .

"Saya tidak mahu ketepikan peranan media konvensional, namun dengan kemajuan teknologi pada hari ini membolehkan saya berhubung secara terus dengan peminat saya melalui media sosial seperti, Twitter, Facebook dan Instagram. Inilah salah satu strategi pemasaran saya dan media sosial merupakan platform untuk memajukan perniagaan saya," katanya. 

Tidak lokek berkongsi tips kejayaannya dalam bidang perniagaan, Fizo kini dalam proses menghasilkan sebuah buku bertajuk ‘Landasan Ke Puncak’ untuk membantu usahawan muda di negara ini. 

"Saya sedang mengumpul bahan dan sudah mula menulis pengalaman saya dalam bidang perniagaan. Dalam masa yang sama, saya juga merancang membuka restoran makanan secara fraicais pada tahun ini. 

"Dengan cawangan pertama akan dibuka selepas hari raya nanti. Saya menjangkakan 10 cawangan dapat dibuka sebelum tahun hadapan. Menunya adalah masakan berasaskan nasi dan saya menjanjikan sesuatu yang berbeza daripada restoran-restoran sedia ada," katanya. 


Fizo Omar, Hot Burger

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ariani Lancar Koleksi 2014

Artikel Lain