suria

Hidup hanya makan kentang goreng, keropok, remaja nyaris buta dan pekak

Kentang goreng yang diambil secara berlebihan boleh memudaratkan kesihatan. -foto Getty

SEORANG remaja dilaporkan nyaris buta setelah hanya makan kentang goreng, keropok dan roti putih selama bertahun-tahun.

Remaja berasal dari Bristol yang tidak dinyatakan identitinya itu mula berjumpa doktor ketika berusia 14 tahun kerana sering berasa letih.

Hasil pemeriksaan, dia mengalami kekurangan vitamin B12 dan 'macrocytic anaemia' iaitu kondisi di mana sel darah merah menjadi lebih besar dari biasa.

Memetik Sky News, doktor segera memberikan suntikan untuk meningkatkan kadar B12 dalam darahnya selain dia turut diberikan menu diet.

Bagaimanapun, remaja itu tidak mengikut diet yang disarankan. Dia memilih untuk terus makan kentang goreng, keropok, serta roti putih yang adakalanya disertakan dengan hirisan daging dan sosej.

Dia mengaku tidak mengikut diet dengan baik kerana cerewet tentang makanan. Dia tidak suka makan sayur dan buah gara-gara tidak suka akan teksturnya.

Dalam kes yang didedahkan Hospital Mata Bristol dalam jurnal Annals of Internal Medicine, remaja itu mula kabur penglihatan sehingga hampir buta pada umur 17 tahun.

Dr Denize Atan yang merawatnya menulis bahawa remaja itu tidak hanya kehilangan vitamin B12, tetapi juga mineral penting seperti selenium dan tembaga.

"Dia kehilangan banyak mineral dari tulangnya, di mana fakta itu cukup mengejutkan untuk usianya," kata Dr Atan, memetik Asia One.

Walaupun tidak mengalami obesiti atau terlalu kurus, remaja itu mengalami kekurangan nutrisi. Selain nyaris buta, pendengarannya juga semakin merosot dan lemah tulang.

Disebabkan keadaannya itu, Dr Atan menyebut remaja berkenaan tidak mampu membaca atau mengemudi kerana mempunyai titik mati di bahagian penglihatan tengah, walaupun dia masih boleh berjalan.

"Kes ini agak jarang berlaku di negara maju. Kondisi ini dapat disembuhkan jika cepat dikesan. Namun jika tidak ia akan kekal," menurut laporan itu.

Praktis kesihatan menyarankan diet bervariasi meliputi sayuran hijau, kekacang, susu dan bijirin. Minyak ikan dan daging juga dapat membantu.

B12, kentang goreng, keropok, diet

Artikel Lain