Ibu tahan kru tutup pintu pesawat kerana anak masih 'shopping', si anak telefon polis bantuan minta lewatkan penerbangan - Dunia | mStar

Ibu tahan kru tutup pintu pesawat kerana anak masih 'shopping', si anak telefon polis bantuan minta lewatkan penerbangan

Kakitangan penerbangan Spring Airlines terpaksa menangani keadaan apabila seorang wanita menghalang mereka daripada menutup pintu pesawat yang mahu berlepas.

SEORANG ibu bertindak menghalang seorang anak kapal daripada menutup pintu pesawat supaya anak perempuannya dapat menghabiskan aktiviti membeli-belahnya di lapangan terbang.

Wanita itu dilaporkan telah membuatkan 160 penumpang menunggu anaknya menaiki penerbangan awal pagi itu dalam kejadian di Bangkok.

Salah seorang penumpang di atas pesawat mendakwa semua penumpang marah dengan tindakannya ketika pesawat syarikat penerbangan China, Spring Airlines dari Bangkok mahu berlepas ke Shanghai.

Pesawat itu dijadual berlepas pada pukul 3.30 pagi dari Lapangan Terbang Suvarnabhumi, di mana kedai-kedai bebas cukai dibuka 24 jam.

Seorang wanita menyebabkan kelewatan apabila bertindak menunggu anaknya di jambatan menghubungkan pesawat dengan bangunan lapangan terbang.

Rakaman yang disiarkan oleh saksi menunjukkan wanita itu duduk di jambatan di luar pesawat sambil seorang pekerja penerbangan bercakap dengannya.

Klip itu trending di platform video pendek China Douyin dan juga menunjukkan beberapa penumpang lain yang resah sudah bangun dari tempat duduk dan anak kapal cuba menangani kejadian tersebut.

Saksi itu berkata seorang perempuan, difahamkan anak perempuan wanita berkenaan juga telah menghubungi polis lapangan terbang untuk meminta penerbangan menunggunya.

Para penumpang resah apabila penerbangan lewat berlepas.

Dia didakwa memberitahu polis bahawa dia telah mendaftar masuk dua bagasi dan bagasi tangan ditinggalkan bersama ibunya yang sudah berada dalam pesawat.

Seorang wanita, dipercayai ibunya dapat dilihat berada di koridor luar pesawat dalam keadaan bersandar manakala seorang anggota kakitangan berdiri dekat dengannya.

Spring Airlines mengesahkan kejadian itu kepada Mail Online selepas menonton klip.

Seorang jurucakap berkata penumpang yang menaiki kapal terbang itu berada dalam keadaan emosi dan cuba menghalang pengurus kabin daripada menutup pintu.

Penerbangan itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Shanghai Pudong pada 9.14 pagi, lewat lebih dari satu jam dari yang dijadualkan.

pesawat , beli-belah , lapangan terbang

Artikel Berkaitan

Artikel Lain