Staf hospital pam bayi 'lahir mati' dalam tandas kerana tak sengaja... jururawat menjerit, ibu trauma! - Dunia | mStar

Staf hospital pam bayi 'lahir mati' dalam tandas kerana tak sengaja... jururawat menjerit, ibu trauma!

Hospital Saitama Red Cross, Jepun. -foto Ryohei Miyawaki

SEORANG tukang cuci di sebuah hospital tidak sengaja mengepam bayi lahir mati ke dalam mangkuk tandas pada Mac, menurut pusat kesihatan awam bandar dan sumber lain.

Hospital itu telah meminta maaf kepada wanita yang melahirkan bayi berkenaan dan keluarganya.

Insiden berlaku ketika wanita berusia 36 tahun itu dimasukkan ke hospital di Hospital Saitama Red Cross, Jepun pada 18 Mac.

Keesokan harinya, tanpa disangka-sangka dia melahirkan bayinya yang berusia 14 minggu ketika sedang duduk di mangkuk tandas.

Selepas dia berpindah ke bilik lain, seorang kakitangan pembersihan secara tidak sengaja telah mengepam (flush) tandas tersebut, menurut pusat berkenaan dan sumber lain.

Jantung bayi berkenaan telah disahkan berhenti berdenyut empat hari sebelum insiden lahir mati di mangkuk tandas itu.

Menurut suaminya yang berusia 39 tahun yang menemaninya pada masa itu, wanita berkenaan, yang telah masuk ke bilik bersalin berasa mahu membuang air kecil dan mendapat kebenaran doktor untuk menggunakan tandas.

Sementara menunggu tindakan lanjut kakitangan hospital, dia kembali ke bilik bersalin. Pasangan itu kemudian mendengar bunyi 'flush' dan diikuti oleh jeritan kakitangan hospital.

Hospital itu membuat permohonan maaf kepada wanita itu dan keluarganya secara bertulis selain mengambil langkah pencegahan supaya insiden yang serupa tidak berulang dengan menyemak semula manual untuk kakitangan pembersihan, menurut suaminya.

Seorang pegawai di bahagian pengurusan keselamatan pengendalian hospital memberitahu The Asahi Shimbun pada 15 Mei, "Saya tidak dapat mengulas mengenai perkara ini pada masa ini."

Sebelum kejadian, pasangan itu berharap dapat menamakan bayi mereka yang meninggal dunia dalam kandungan dan menyimpan gambar serta cap jari sebagai kenangan.

"Isteri saya trauma dengan bunyi 'flush' tandas, saya tidak mahu kejadian serupa berlaku lagi."

bayi , lahir mati , tandas , pam

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Ibu Issey meninggal dunia