Paksa bekas isteri minum 7 gelas air dari mangkuk tandas, lelaki dipenjara 5 bulan - Dunia | mStar

Paksa bekas isteri minum 7 gelas air dari mangkuk tandas, lelaki dipenjara 5 bulan

Lelaki itu dijatuhkan hukuman penjara selama lima bulan akibat menganiayai isterinya. FOTO: HGTV.com

JIJIK, bayangkan sekiranya anda terpaksa minum air dari mangkuk tandas.

Begitulah yang berlaku terhadap seorang wanita apabila dipaksa meneguk tujuh gelas air tandas oleh bekas suaminya menerusi kejadian di Yorkshire, utara England.

Lelaki itu, Richard Cook akhirnya menerima pembalasan apabila dijatuhkan hukuman penjara oleh Mahkamah York Crown.

Selain perbuatan itu, Cook juga menendang bekas isterinya selain memaksa wanita itu duduk di sudut bilik dengan tangan diangkat ke atas.

Wanita malang itu akhirnya berjaya meloloskan diri menerusi tingkap kediaman tersebut.

"Jika saya tidak memanjat keluar dari flat itu, keadaan akan meruncing dan dia mungkin bunuh saya," ujar wanita itu sewaktu pendengaran mahkamah.

Setelah mengaku bersalah atas tiga pertuduhan, Cook menerima hukuman penjara selama lima bulan.

Dalam pada itu, jurucakap Perkhidmatan Penderaan Domestik Bebas York (IDAS) tampil membuat kenyataan berhubung insiden itu.

"Penderaan domestik termasuklah dera emosi, fizikal, seksual dan kewangan.

"IDAS adalah badan kebajikan yang akan menyokong sesiapa yang terkesan, mangsa kekejaman bekas pasangan atau ahli keluarga," ujar jurucakap itu. - Mirror.

richard cook , tandas , isteri , dera

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan