suria

iPhone meletup di muka, remaja nyaris hilang penglihatan

Keadaan telefon yang meletup. -foto Associated Newspapers Limited

SEORANG remaja lelaki berumur 15 tahun nyaris hilang penglihatan selepas bateri telefon bimbit meletup di mukanya.

Jay Watson, dari Brisbane, Australia, sedang membelek iPhone 6 miliknya pada malam Ahad apabila bateri telefon tersebut meletup.

Selain menyambar rambutnya, letupan itu turut menyebabkan asid dari bateri terpercik ke dadanya.

"Saya nak tengok ada apa di dalamnya.

"Saya hanya buat ia melengkung dan apabila saya melakukannya ia meletup. Saya hanya dengar bunyi letupan dan kemudian nampak nyalaan api," kata Watson kepada 7News.

Dia dikejarkan ke Royal Brisbane and Woman's Hospital selepas ibunya mendengar jeritannya dan menelefon ambulans.

Selepas letupan, peranti yang meletup terus dibawa ke sinki. -foto Associated Newspapers Limited

Dia kemudian dibenarkan keluar.

Doktor berkata Watson bernasib baik kerana asid itu tidak terkena bahagian lain.

"Asid terkena bahagian dada. Dia mungkin akan hilang penglihatan jika percikan asid terkena matanya," kata ibu Watson, Kari Lashbrook kepada 9News.

Pengeluar telefon dan pihak berkuasa telah memberi amaran berhubung gangguan terhadap bateri lithium ion kerana sifat komponennya tidak menentu.

Pada 2016, Samsung menghentikan pengeluaran telefon Note 7 mereka kerana masalah bateri, yang menyebabkan banyak telefon terlalu panas dan meletup walaupun tidak diganggu.

"Saya mungkin harus Google terlebih dahulu," kata Watson, mengakui dia mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku.

iPhone, meletup, bateri, asid

Artikel Lain