suria

Serangan masjid NZ: Peraturan guna ‘Facebook Live’ diperketat

Gambar hiasan

FACEBOOK pada Jumaat menyatakan bahawa syarikatnya akan mengetatkan peraturan penstriman video secara langsung sebagai reaksi kepada perkhidmatan laman sosial itu yang digunakan untuk menyiarkan serangan tembakan dua masjid di New Zealand.

Serangan Christchurch dilakukan oleh seorang supremasi kulit putih yang melancarkan tembakan rambang sehingga meragut 50 nyawa.

Ramai orang mempersoalkan bagaimana platform dalam talian seperti Facebook digunakan untuk mengedarkan video serangan itu, kata ketua pegawai operasinya Sheryl Sandberg menerusi sebuah posting dalam talian.

"Berikutan serangan pengganas itu, kami mengambil tiga langkah; menguatkan peraturan untuk menggunakan Facebook Live, mengambil langkah selanjutnya untuk menangani kebencian menerusi platform kami dan menyokong komuniti New Zealand," tambahnya.

Facebook sedang meneliti individu yang sebelum ini melanggar piawaian komuniti rangkaian sosial daripada penstriman langsung di platformnya, menurut Sandberg.

Rangkaian sosial itu juga melabur dalam meningkatkan perisian untuk mengenal pasti dengan segera sebarang video atau imej ganas yang telah disunting bagi mengelakkannya daripada dikongsi atau dimuat naik semula.

"Walaupun video serangan asal New Zealand dikongsi secara langsung, kami tahu bahawa video ini tersebar terutamanya melalui orang berkongsi semula dan menyuntingnya untuk menjadikan sistem kami lebih sukar untuk menyekatnya.

"Orang yang mempunyai niat jahat akan sentiasa berusaha untuk melanggar langkah keselamatan kami," kata Sandberg.

Facebook mengenal pasti terdapat lebih 900 video menunjukkan sebahagian daripada rakaman serangan keganasan di Christchurch tersebut. - Korea Times

Facebook, Facebook Live

Artikel Lain