Budak 6 tahun retak tengkorak, cedera paru-paru dan lumpuh muka ditimpa mesin permainan - Dunia | mStar

Budak 6 tahun retak tengkorak, cedera paru-paru dan lumpuh muka ditimpa mesin permainan

MALANG tidak berbau, begitulah nasib seorang kanak-kanak yang mukanya lumpuh setelah cedera ditimpa mesin permainan arked.

Insiden yang menimpa kanak-kanak berusia enam tahun itu berlaku di Resort Lloret de Mar, Sepanyol.

Dikenali sebagai Oscar Donelly, kanak-kanak itu tidak sedarkan diri sejurus kejadian itu sebelum dia dibawa ke hospital.

Akibat kecederaan, dia kini mengalami lumpuh wajah sehingga keluarganya bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap hotel berkenaan.

Kejadian itu berlaku sewaktu percutian 10 hari mereka sekeluarga di lokasi itu.

"Dia dibawa ke unit rawatan rapi, kami pun tak tahu sama ada dia masih hidup atau sudah meninggal," ujar ibunya, Samantha.

Samantha berkata, doktor bertungkus-lumus selama tiga jam untuk menyelamatkan nyawa Oscar yang koma dan mengalami pendarahan kepala dalam insiden itu.

Selain itu, dia juga mengalami kecederaan paru-paru, retak tengkorak dan pekak telinga kiri buat selama-lamanya.

"Oscar kini banyak berubah. Sebelum ini dia ceria dan periang. Kini dia cepat letih, sedih dan sering keliru.

"Kami risau dengan masa depannya. Senyuman Oscar sudah tiada," kata ibunya lagi.- Daily Star.