Pakar temui persamaan nyata antara kotak hitam Ethiopian Airlines dengan nahas pesawat Lion Air - Dunia | mStar

Pakar temui persamaan nyata antara kotak hitam Ethiopian Airlines dengan nahas pesawat Lion Air

Foto BEA / VIA AP

KOTAK hitam pesawat Ethiopian Airlines yang terhempas pada minggu lalu menunjukkan persamaan nyata dengan pesawat Indonesia yang juga terhempas pada Oktober tahun lalu.

Begitu kenyataan menteri pengangkutan Ethiopia pada Ahad.

Dagmawit Moges memberitahu pemberita bahawa persamaan itu akan menjadi subjek untuk kajian lanjut semasa siasatan dijalankan dengan laporan awal dikeluarkan dalam tempoh 30 hari.

Pengumuman itu dibuat seminggu selepas pesawat Ethiopian Airlines 302 yang menuju ke Nairobi terhempas di kawasan lapang di tenggara Addis Ababa, sekali gus mengorbankan 157 nyawa.

Insiden itu menyebabkan penggantungan pesawat Boeing 737 MAX 8 dilakukan di seluruh dunia selepas pengawal atur penerbangan menyedari terdapat persamaan dengan nahas kapal terbang Lion Air 737 MAX 8 yang membunuh 189 penumpang dan anak kapal.

Kedua-dua pesawat dilaporkan mengalami penanjakan curam yang tidak menentu termasuk turun naik kecepatan udara sebelum terhempas sebaik sahaja berlepas.

Kotak hitam pesawat Ethiopian Airlines telah dihantar kepada agensi keselamatan udara Biro Siasatan dan Analisis Perancis yang bekerjasama dengan penyiasat dari Amerika Syarikat dan Ethiopia bagi menentukan punca sebenar nahas. - Japan Times

kotak hitam , Ethiopian Airlines

Artikel Berkaitan

Artikel Lain