suria

Terkandas lapan jam dalam pesawat akibat salji, juruterbang pesan piza untuk semua penumpang

Gambar hiasan.

PENUMPANG pesawat Air Canada mula rasa tertekan selepas terkandas di lapangan terbang yang dipenuhi salji selama berjam-jam.

Namun, juruterbang kapal terbang itu tahu cara untuk meredakan keadaan iaitu dengan menghantar 23 kotak piza terus ke pintu pesawat.

Penerbangan Air Canada 608 meninggalkan Toronto menuju Halifax, Nova Scotia, pada malam Isnin, tetapi cuaca buruk memaksa pesawat itu dialihkan ke Fredericton, New Brunswick.

Selepas beberapa jam terperangkap dalam kapal terbang, juruterbang memutuskan untuk memesan makanan.

Jofee Larivée, pengurus di Minglers Restaurant and Pub di Oromocto, menerima panggilan daripada juruterbang itu dan mengambil sebanyak 23 pesanan piza dengan inti keju dan pepperoni.

"Kami memberitahunya bahawa kami boleh menyediakan pesanan itu dalam masa satu jam atau satu jam setengah," kata Larivée.

Dia berkata, mereka tidak pernah menghantar piza ke kapal terbang dan ketawa sepanjang malam kerana memikirkan tentang pesanan luar biasa itu.

Krunya berjaya menyediakan piza selama satu jam dan menghantarnya ke lapangan terbang melalui perkhidmatan penghantaran Mingler.

Seorang penumpang, Philomena Hughes memberitahu CNN bahawa dia memuji tindakan juruterbang itu dalam memastikan penumpang diberitahu dan diberi makan selepas berada di dalam pesawat selama kira-kira lapan jam dari waktu mereka menaiki penerbangan ke Toronto.

"Terdapat beberapa juruterbang Air Canada Jazz yang menaiki pesawat itu dan membantu mengambil piza tersebut dan mengagihkannya.

"Semua orang memberikan wang sama sedikit kerana dia (juruterbang) tidak mahu menerima pujian untuk dirinya seorang," katanya.

Larivée juga memuji juruterbang tersebut kerana turut menghubungi restorannya pada Selasa untuk mengucapkan terima kasih kepada kakitangan yang berjaya menghantar piza ke pesawat itu dengan cepat.

Penerbangan tersebut dijadual tiba di Halifax pada petang Selasa. - Sacramento

piza, Air Canada

Artikel Lain