Jejaka 'kerja dari bawah' tergamam lihat Lamborghini sadur emas baru keluar garaj hangus - Dunia | mStar

Jejaka 'kerja dari bawah' tergamam lihat Lamborghini sadur emas baru keluar garaj hangus

-foto Lak Sira/SWNS

HANCUR luluh hati seorang pemilik kereta mewah bernilai £125,000 (RM672,720) melihat keretanya hangus terbakar, hanya satu jam selepas kenderaan itu diservis.

Lak Sira, 22, berdiri di tepi jalan dan menyaksikan sendiri Lamborghini Gallardo miliknya terbakar selepas dia dan teman wanitanya berjaya melompat keluar dari kenderaan bersadur emas (glod plated) itu.

Ketika itu, pasangan berkenaan dalam perjalanan ke London untuk berhibur pada waktu malam.

Dia berkata Lamborghini Birmingham tidak mahu bertanggungjawab selepas dia mendakwa mereka berdua hampir terbunuh sebaik sahaja kereta itu dikeluarkan dari garaj untuk diservis dengan bayaran perkhidmatan £10,000 (RM53,817).

-foto Lak Sira/SWNS

Sira berkata dia sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pengedar.

"Saya sedang dalam perjalanan ke London dengan teman wanita kerana saya baru saja mengambil kereta itu dan mahu memandunya.

"Kami baru saja melepasi satu persimpangan ketika teman wanita saya terhidu bau petrol dalam kereta, jadi saya menghubungi mekanik garaj itu.

"Dia berkata bau minyak adalah perkara biasa apabila kereta baru diservis jadi tiada masalah.

"Jadi kami teruskan perjalanan sedikit lagi dan teman wanita saya minta saya buka tingkap kerana bau bahan api itu semakin kuat.

"Saya berhenti di bahu jalan, di antara J5 dan J6, untuk membuka bumbung tetapi mendengar bunyi kuat seperti letupan mercun dan belakang kereta saya terbakar.

"Saya hanya mampu melihat kereta yang kerja keras untuk membelinya hangus dalam kepulan asap.

"Kami hampir mati, jika saya tidak berhenti melihat apa berlaku. Ia sangat menakutkan dan teman wanita saya takut naik mana-mana kereta dengan saya sekarang."

-foto Lak Sira/SWNS

Sira, yang memperoleh £200,000 setahun dengan menjalankan perniagaan syarikat dagangan dalam talian menuduh pihak garaj cuai.

"Saya sedang bincang dengan peguam saya untuk melihat sama ada mahu mengambil tindakan undang-undang kerana macam tak percaya ianya kebetulan kerana kereta itu baru diambil dari garaj."

Ahli perniagaan berusia 22 tahun itu berkata dia bekerja dari bawah untuk memiliki Lamborghini itu, yang digambarkan sebagai kereta impian.

"Saya bekerja 24 jam sehari selama empat tahun untuk membeli kereta ini.

"Ia adalah kebanggaan dan kegembiraan saya dan saya tak pernah bayangkan saya akan dapat duduk di dalamnya apatah lagi memiliki kereta impian saya.

"Saya benar-benar kecewa. Saya baru memilikinya selama satu setengah tahun dan saya menyukainya. Saya membayar £12,000 (RM64,581) untuk warna bersalut emas dan £10,000 untuk servis dan kemudian ini berlaku.

"Saya mahu jawapan kerana ia jelas tidak selamat untuk dipandu dan jika ia meletup kita boleh mungkin terbunuh."

-foto Lak Sira/SWNS

Jurucakap Bomba West Midlands mengesahkan 10 anggota bomba dihantar ke tempat kejadian pada pukul 8.54 malam Jumaat.

Seorang pekerja di Lamborghini Birmingham, yang tidak mahu dinamakan, berkata: "Pengedar tidak membuat sebarang komen mengenai perkara itu."

Ibu pejabat Lamborghini di UK tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen lanjut. -Mirror

terbakar , servis , Lamborghini

Artikel Berkaitan

Artikel Lain