suria

Kamera tersebunyi di belakang kerusi pesawat, penumpang risau privasi diceroboh

FOTO: The Straits Times

MINGGU lalu kecoh apabila seorang pelancong mempersoalkan kewujudan kamera di belakang kerusi sebuah pesawat yang dinaikinya.

Menerusi kejadian itu, Vitaly Kamluk yang menaiki pesawat Singapore Airline Boeing 787 membuat pendedahan menerusi laman Twitter.

"Saya terjumpa pengesan seperti kamera menghadap ke arah saya dari belakang kerusi pesawat. Ada pakar yang boleh jelaskan? Mungkin Singapore Airline boleh beri penjelasan?" tulis lelaki itu.

Ia sekaligus menyebabkan berlakunya perdebatan dalam media sosial berhubung perkara berkenaan.

Malah, ramai yang bimbang mengenai privasi mereka sekiranya kamera itu benar-benar berfungsi.

Peka dengan apa yang berlaku, syarikat penerbangan itu tampil membuat penjelasan.

"Kamera itu tidak boleh digunakan sejak ia dipasang dalam pesawat ini, ia juga tidak boleh diaktifkan sewaktu penerbangan," ujar Singapore Airlines menerusi satu kenyataan.

Ia boleh ditemui dalam pesawat kelas ekonomi dan beberapa pesawat lain termasuklah model A350-900s, A380s, Boeing 777-300ERs and 787-10s.

Selain Singapore Airlines, syarikat United Airlines turut ditekan orang ramai berhubung kewujudan kamera berkenaan dalam pesawat mereka.

"Sesetengah kerusi premium dilengkapi sistem hiburan yang dihadirkan sekali dengan kamera.

"Ia ciri biasa dan pembangun sistem itu memasang kamera untuk tujuan panggilan video dan sebagainya.

"Namun ia tidak pernah diaktifkan dalam penerbangan kami," jawan wakil United Airlines pula. - Mirror.

Artikel Lain