suria

Aplikasi cari jodoh digodam, data 6 juta pengguna bocor

SEBUAH aplikasi cari jodoh popular menjadi mangsa terbaharu aktiviti penggodaman sehingga berlakunya kebocoran data.

Maklumat enam juta pengguna aplikasi Coffee Meets Bagel mula bertebaran di internet awal minggu ini.

Menurut pengendali aplikasi itu, nama dan alamat email pengguna mereka didedahkan sewaktu sambutan Hari Kekasih, 14 Februari lalu.

"Kami mendapati data pengguna aplikasi ini telahpun diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Setelah menyedari masalah ini, kami bekerjasama dengan pasukan forensik keselamatan untuk membuat tinjauan ke atas sistem kami," ujar pihak aplikasi tersebut.

Malah, mereka turut berazam untuk meningkatkan perlindungan keselamatan maklumat pengguna mereka, pada masa akan datang.

Dalam pada itu, pakar keselamatan berkata, pencerobohan data itu bukanlah masalah biasa.

Tambah mereka, pengguna terjejas berisiko untuk menghadapi serangan siber akibat maklumat mereka yang sudah dibocorkan.

"Walaupun maklumat berkaitan kewangan tidak didedahkan, ia masih memberi ancaman kepada pengguna.

"Kata kunci dan email mereka turut dijual di pasaran gelap, untuk dieksploitasi oleh penggodam," ujar Dean Fernando yang berkhidmat untuk sebuah firma keselamatan.

Selain Coffee Meets Bagel, orang ramai turut menggunakan aplikasi seperti Tinder untuk mencari jodoh. - Indipendent.

Artikel Lain