suria

Sering dibuli, dipanggil monyet gara-gara sindrom 'serigala jadian'

Wajah Lalit dipenuhi bulu yang lebat.

SEORANG remaja lelaki yang menghidap sindrom 'serigala jadian' sering menjadi mangsa buli dan dipanggil 'monyet' oleh rakan di sekolahnya.

Lalit Patidar, 13, dari India dilahirkan dengan keadaan berbulu lebat di muka, lengan dan beberapa anggota badannya yang lain.

Meskipun menghidap penyakit ganjil itu, Lalit gembira dengan kehidupannya dan bercita-cita mahu menjadi anggota polis apabila dewasa nanti.

Dia juga berharap agar dapat menjalani pembedahan pada masa hadapan supaya rakan seusianya tidak takut untuk bermain dengannya.

"Saya dilahirkan dengan keadaan berbulu di muka dan ia menjadikan saya berbeza dengan orang lain.

"Kadang kala saya mahu menjadi seperti kanak-kanak lain tetapi tiada apa mampu saya lakukan.

"Saya sudah biasa dengan diri saya dan selesa dengan keadaan ini," katanya.

Lalit bersama adik-beradiknya yang lain.

Ibu Lalit, Parvatibai Patidar mengakui agak terkejut apabila mengetahui keadaan anaknya sewaktu dilahirkan.

"Saya melihat Lalit sejam setengah selepas dia dilahirkan, saya terkejut kerana badannya dipenuhi bulu yang lebat.

"Saya bertanya kepada pakar kanak-kanak untuk melakukan pemeriksaan bagi mengenal pasti cara untuk mengurangkan masalah yang dihidapinya tetapi tiada penawar untuk penyakit tersebut.

"Saya ada anak perempuan dan kami semua sering berdoa untuk Lalit. Dia berbeza tetapi dia amat istimewa kerana dia dilahirkan selepas banyak doa khas dilakukan," kata wanita berusia 42 tahun itu.

Lalit berkata dia sering diejek dan menjadi perhatian jika muncul di khayalak ramai.

"Kadang kala ketika saya keluar, orang ramai pandang ke arah saya. Ada di antara mereka panggil saya monyet.

"Ada masa saya dibaling dengan batu oleh kanak-kanak lain. Namun ahli keluarga saya datang menyelamatkan saya apabila berdepan situasi itu," katanya. - Mirror.co.uk

bulu, serigala jadian

Artikel Lain