suria

Lelaki gelandangan temui ajal gara-gara dituduh curi basikal

Amons (kiri) dan Fret (kanan) ditahan kerana didakwa telah menyebabkan kematian Young selepas terlibat dalam pergaduhan melibatkan sebuah basikal. - Foto SANTA ROSA POLICE DEPARTMENT

PERBALAHAN yang berpunca daripada sebuah basikal berakhir dengan tragis apabila seorang lelaki maut selepas dipukul di Santa Rosa, California di Amerika Syarikat pada minggu lepas.

Pihak berkuasa mendapat panggilan pada 31 Januari sekitar pukul 9.40 pagi yang melaporkan bahawa seorang wanita melihat dua lelaki menyerang seorang lelaki lain berhampiran sebuah restoran Mexico di hujung bandar Sonoma County.

Menurut polis, wanita itu memberitahu, seorang lelaki dilihat dipukul dengan menggunakan tongkat.

Pegawai polis tiba di tempat kejadian dan mendapati seorang lelaki mati terbaring di atas tanah dengan kecederaan trauma disebabkan oleh objek tumpul.

Tidak lama selepas itu, seorang pegawai polis lain ternampak seorang lelaki yang sepadan dengan ciri-ciri penyerang tersebut menunggang basikal kira-kira 800 meter dari lokasi polis berkenaan.

Lelaki itu, William Armister Amons, 62, dari San Francisco ditangkap atas tuduhan membunuh dan dibawa ke Sonoma County Main Adult Detention Facility, kata polis.

Gambar hiasan. - Foto Pixabay

Selepas siasatan lanjut dijalankan, seorang lagi lelaki, Solomon Asgedom Fret, 55, turut ditahan untuk membantu siasatan.

Pada Isnin, Pejabat Sheriff County Sonoma mengenal pasti lelaki yang terbunuh itu sebagai Derrick Young, 50.

Mangsa merupakan seorang gelandangan yang tinggal di Santa Rosa, laporan Bay City News.

Menurut polis, Fret dan Amons yang juga gelandangan menemui objek tumpul dan memukul Young ketika bergaduh disebabkan oleh sebuah basikal, mereka kemudian meninggalkan tempat kejadian.

Polis berkata, kedua-dua suspek menuduh Young telah mencuri basikal itu dan mereka akan didakwa di Mahkamah Sonoma County pada tengah hari Selasa. - Miami Herald

gelandangan

Artikel Lain