Penumpang paksa pramugari buka seluar, cuci punggungnya selepas ke tandas pesawat - Dunia | mStar

Penumpang paksa pramugari buka seluar, cuci punggungnya selepas ke tandas pesawat

SEORANG penumpang obesiti memaksa kru kabin membuka seluarnya ketika menggunakan tandas sebuah pesawat.

Tidak cukup dengan itu, dia kemudian menyuruh pembantu penerbangan mencuci punggungnya sambil menunjukkan reaksi 'seronok', menurut laporan.

Seorang atendan syarikat penerbangan Taiwan, EVA Air, yang hanya menggaji kru kabin wanita berkata, kejadian pada Sabtu lalu telah membuatkan petugas trauma.

Lelaki berkenaan, yang berkerusi roda dan duduk di kelas ekonomi memberitahu atendan penerbangan bahawa dia memerlukan bantuan untuk menggunakan tandas kira-kira dua jam setengah selepas pesawat berlepas dari Los Angeles ke Taiwan yang mengambil masa 14 jam.

Menurut laporan CNN, dia membuat permintaan menggunakan tandas di kelas perniagaan.

"Sebagai pembantu penerbangan saya rasa tugas membuka seluar penumpang berada di luar skop tanggungjawab saya," kata atendan penerbangan itu pada sidang akhbar yang turut disertai oleh wakil dari Kesatuan Pembantu Penerbangan Taoyuan.

"Saya beritahu dia bahawa kami tak dapat membantu, tetapi dia mula berteriak. Dia suruh saya segera masuk ke dalam dan mengugut untuk berak atas lantai," katanya.

"Ketika alat sulitnya terdedah, salah seorang rakan saya membawa selimut yang kemudiannya saya guna untuk menutupinya.

"Tetapi dia sangat marah lalu menepis tangan saya, menyatakan dia tak mahu selimut itu dan hanya mahu saya membuka seluar dalamnya supaya dia dapat menggunakan tandas."

Lelaki itu juga bertegas untuk membuka pintu semasa 'membuang' kerana jika tidak 'dia tidak boleh bernafas'.

Wanita itu bagaimanapun berjaya menutup pintu, tetapi lelaki tersebut yang beratnya dianggarkan melebihi 200kg kemudian enggan meninggalkan tandas kecuali mereka mencuci punggungnya.

Para atendan penerbangan enggan pada mulanya tetapi kemudian memutuskan untuk menjalankan tugas yang menjijikkan itu kerana dia mengugut untuk berterusan duduk dalam tandas yang mana mengikut peraturan, petugas perlu memastikan tiada penumpang berada di tandas semasa pelepasan dan pendaratan.

Tetapi keadaan menjadi lebih teruk apabila ketua petugas memakai tiga pasang sarung tangan getah dan mula mencuci punggungnya.

"Dia kata, 'Oh, mmm, dalam sikit, dalam sikit' dan kemudian menuduhnya tidak mencucinya dengan bersih sebelum meminta dia melakukannya lagi," katanya, memetik New York Post.

"Kamu boleh pakaikan balik seluar saya sekarang," imbas kru tersebut memetik lelaki itu sebagai berkata.

Tambahnya: "Saya tidak akan melupakan saat itu. Dengan najisnya masih dalam tandas, saya tak dapat melarikan diri.

"Sekarang setiap kali saya dipaksa untuk mengenang semula apa yang berlaku, saya trauma," katanya.

Menurut posting di Facebook Jeff Lin, sejurus selepas kejadian, wanita itu terus ke tandas kakitangan dan muntah serta menangis.

Kesatuan itu mendakwa ia terang-terangan menggambarkan satu bentuk gangguan seksual dan meminta EVA menyaman penumpang tersebut, yang pernah berak dalam sebuah penerbangan sebelum ini iaitu pada Mei 2018, menyebabkan bau busuk selama lebih 10 jam.

Kesatuan itu menggesa syarikat penerbangan untuk menetapkan prosedur operasi standard, termasuk memastikan penumpang yang kurang upaya ditemani penjaga.

EVA dalam satu kenyataan berkata atendan penerbangan dibenarkan menolak permintaan yang mereka anggap tidak sesuai dan bersedia untuk menawarkan bantuan, jika diperlukan, untuk menyaman penumpang terbabit.

EVA juga menafikan pernah menghukum kru kabinnya kerana menolak permintaan penumpang yang hampir sama pada masa lalu. -NYpost

tandas , kru kabin , seluar

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Mayat Nora Anne sudah dituntut

Henti siasat empat suspek MH17