suria

Indah hanya di luar... Ibu hidap kanser tahap 4 terkejut terima kad ucapan kata-kata kejam

SEORANG ibu kepada lima anak yang bertarung dengan kanser terminal (tahap 4) menerima sekeping kad ucapan dengan isi kandungan yang mengejutkan.

Kad yang diletakkan di dalam peti surat rumahnya meminta supaya dia 'berhenti merayu sumbangan wang'.

Karen Land, dari Retford, mendapat tahu bahawa dia mempunyai dua tumor otak yang agresif pada Ogos tahun lepas, hanya beberapa minggu selepas dimaklumkan bahawa dia telah pulih dari kanser payudara.

Beberapa tumor juga didapati dalam paru-parunya selepas dia menjalani imbasan dan rawatan yang ketat.

Ahli bomba itu yang telah merayu sumbangan wang untuk rawatan perubatan, kemudiannya menerima sekeping 'kad kejam' pada Sabtu.

Bahagian hadapan kad itu tertera ungkapan 'Thinking of you' (sedang mengingati kamu), tetapi di bahagian dalam tertulis mesej 'berhenti merayu sumbangan wang'.

"Cukup-cukuplah minta derma. Mengapa masih mahu orang ramai menderma untuk kamu? Apa akan berlaku dengan duit itu sedangkan tak ada penawar untuk kamu?," demikian mesej yang di tulis di dalam kad tersebut.

-foto Karen Land/BPM Media

Karen mengesyaki kad itu mungkin dikirim oleh seseorang yang dia kenal, kerana ia mempunyai setem tetapi tidak dihantar melalui pos.

Dia memberitahu Lincolnshire Live: "Saya hanya terkejut seseorang sanggup buat begitu kepada seseorang yang berada dalam situasi seperti ini.

"Saya tak faham ada seseorang yang begitu 'peduli' tentang hidup saya dan gigih melakukan sesuatu seperti itu.

"Saya tak marah, saya cuma mahu membincangkan isu itu dengan mereka. Saya fikir saya cenderung untuk menyatakan bahawa mereka lebih patut mendapat simpati."

Akaun JustGiving untuk Karen telah berjaya mengutip lebih dari £6,200 dari £30,000 yang diperlukan untuk rawatan kanser di Jerman.

-foto Karen Land/BPM Media

Karen telah meluahkan kekecewaannya di Facebook, selepas tidak mampu bekerja.

Karen berkata dia sangat tersentuh dengan sokongan yang diberikan sejak kad itu diterima.

"Saya telah dihujani dengan mesej sokongan di Facebook.

"Saya mahu mengenali mereka dan menghantar mesej kepada semua orang, tetapi saya tak mampu kerana terlalu banyak mesej. Semua orang benar-benar positif," katanya.

Karen berkata dia tidak akan berhenti berjuang melawan kansernya, sambil berkata: "Saya tak mahu berita itu membuatkan saya lemah. Saya tekad untuk melawannya dan tetap positif," katanya. -MetroUK

kanser, terminal, tahap 4, kad ucapan

Artikel Lain