suria

Nyaris ditukar dengan bayi lain kerana lahir sebagai anak perempuan kelima

Nargis Taraki.

KETIKA Nargis Taraki menjadi anak perempuan kelima dilahirkan dalam keluarganya di Afghanistan, ibu bapanya didesak supaya menukar bayi perempuan itu dengan bayi lain di kampung mereka.

Kini pada usia 21 tahun, Nargis membuktikan kepada dunia bahawa tindakan kedua ibu bapanya tidak mengendahkan desakan itu sebagai langkah tepat.

Nargis kini giat melakukan kempen untuk pendidikan dan pemberdayaan wanita di Afghanistan dan merupakan salah seorang daripada 100 wanita BBC 2018.

Menurut Nargis, kakak kepada bapanya dan saudara mereka mendesak ibunya untuk memberi kebenaran kepada bapanya untuk berkahwin lain.

Beristeri dua atau tiga bukan jadi amalan di Afghanistan dan ada kalanya masyarakat di negara itu percaya isteri baharu boleh menghadirkan seorang zuriat lelaki.

Apabila ibu saya enggan tunduk dengan desakan mereka, Nargis berkata mereka menyarankan kepada bapa saya agar menukar saya dengan seorang bayi lelaki.

Nargis (kiri) bersama kakak dan adik lelakinya.

Nargis berkata saudara mereka turut menjumpai sebuah keluarga di kampung tersebut yang sanggup menukar bayi lelaki mereka dan mengambilnya sebagai anak.

Jelas Nargis lagi, orang kampung mula mengganggu ibunya sehingga ibunya menjadi rendah diri kerana tidak mempunyai seorang anak lelaki.

Walaupun ibu enggan memberikannya kepada keluarga lain, Nargis berkata terdapat segelintir individu masih cuba memujuk bapanya untuk berbuat demikian.

Namun Nargis berkata bapanya mempunyai pemikiran yang berbeza.

"Dia beritahu dia sayang saya dan dia mahu buktikan bahawa anak perempuannya juga boleh berjaya.

"Jadi ada segelintir orang kampung yang membencinya dan tidak bergaul dengan kami," katanya.

Namun Nargis berkata bapanya percaya dengan pendiriannya.

"Walaupun terdapat tekanan kepada ibu bapa saya untuk menukar saya dengan keluarga lain kerana jantina saya tetapi bapa saya banyak memberi impak positif kepada karakter saya," kata Nargis. - BBC

bayi, Afghanistan

Artikel Lain