suria

Polis tahan lelaki sorok RM1.6 juta dalam mesin basuh, disyaki lakukan pengubahan wang haram

Gambar wang yang dijumpai dalam mesin basuh di sebuah kediaman di barat Amsterdam. - AP

POLIS Belanda yang menjumpai 350,000 euro (RM1.6 juta) tersembunyi dalam sebuah mesin basuh telah menahan seorang lelaki yang disyaki melakukan pengubahan wang haram.

Polis Belanda berkata dalam satu kenyataan, pihaknya sedang memeriksa sebuah rumah di barat Amsterdam pada Isnin bagi mengenal pasti penduduk yang tidak berdaftar ketika mereka menjumpai wang berkenaan.

Sekeping gambar di laman web polis itu menunjukkan longgokan wang kertas not 20 euro dan 50 euro disumbat dalam mesin tersebut.

Pihak polis turut menemui duit berkenaan bersama-sama sepucuk pistol dan beberapa telefon bimbit.

Nama suspek yang berusia 24 tahun itu tidak didedahkan kerana ia rertakluk kepada dasar peraturan sulit Belanda.

"Pentadbir bandar mendedahkan bahawa tiada penduduk yang tinggal di alamat tersebut.

"Ketika pihak polis membuat pencarian menyeluruh di rumah itu, mereka menjumpai 350,000 euro disembunyikan dalam sebuah mesin basuh," kata polis kepada CNN dalam sebuah kenyataan.

Serbuan di alamat tersebut adalah langkah yang dilaksanakan untuk menangani 'penduduk hantu', iaitu mereka yang tinggal di bandar tetapi tidak berdaftar.

Alamat dipilih berdasarkan kekosongan, tanda-tanda berlaku penipuan perumahan atau kediaman yang mencurigakan. - Daily Mail

pengubahan wang haram

Artikel Lain