suria

Wanita guna daging kekasih masak beriani, polis jumpa gigi dalam pengisar

Machboos, hidangan tradisional negara Teluk seakan beriani. -fotoAlamy

SEORANG wanita dituduh membunuh teman lelakinya dan kemudian memasak dagingnya sebagai sebahagian daripada hidangan nasi tradisional, menurut laporan.

Wanita dari Morocco itu, yang masih belum dinamakan, didakwa memotong mayat teman lelakinya sebelum menghidangkan 'machboos', hidangan tradisional yang seakan beriani kepada pekerja berhampiran.

Laporan tempatan yang memetik abang kepada lelaki tersebut berkata pihak polis telah menemui gigi manusia di dalam pengisar wanita itu.

Wanita tersebut ditahan selepas keputusan DNA menunjukkan ia merupakan gigi teman lelakinya, The National AE melaporkan.

Dia dilaporkan ditahan kerana disyaki membunuh teman lelakinya, yang telah menjalinkan hubungan dengannya selama tujuh tahun.

Tetapi beberapa laporan mendakwa kejadian itu berlaku selepas kekasihnya itu memberitahu bahawa dia merancang untuk berkahwin dengan wanita lain.

Kematian itu terbongkar selepas abang mangsa melaporkan kehilangannya kepada pihak polis di Al Ain, Emiriah Arab Bersatu.

Apabila abang mangsa pergi ke rumah pasangan itu, wanita tersebut menafikan bahawa dia mengetahui di mana teman lelakinya berada, menurut laporan.

Laporan tentang kehilangan lelaki tersebut dikeluarkan pada 13 November.

Wanita itu pada mulanya menafikan jenayah tersebut tetapi kemudian mengaku melakukan pembunuhan, menyatakan ia adalah satu situasi yang 'gila', menurut laporan.

Dia didakwa memberitahu pihak polis bahawa dia mahu membalas dendam selepas teman lelakinya mengakhiri hubungan mereka.

Wanita itu dikatakan telah memotong mayatnya dan menggunakan pengisar untuk mencincang dagingnya.

Dia ditetapkan untuk hadir ke mahkamah. -Mirror

daging, kekasih, kisar

Artikel Lain