suria

Pelajar cuak rakan universiti tiru gaya, baju, kapsyen Instagram selama dua tahun

Persamaan gaya bergambar yang ditiru oleh Honey Basra (kanan).

SEORANG pelajar mendakwa rakan sekelasnya telah meniru beberapa gambar daripada Instagram miliknya selama dua tahun.

Chloe Cowan baru-baru ini mendapati pelajar universiti yang menggelarkan dirinya 'Honey Basra' di media sosial telah menciplak gaya hidup Chloe menerusi gambar.

Gadis berusia 21 tahun itu pada asalnya tidak menyedari tentang perbuatan Honey Basra yang merupakan pelajar undang-undang di Universiti Dundee, United Kingdom.

Chloe mendakwa setiap kali dia memuat naik gambar ke Instagram, Honey Basra akan menirunya selang beberapa jam kemudian dengan menggunakan gaya, baju dan kapsyen yang hampir sama, lapor Daily Record.

Tambah mengejutkan, Honey Basra turut meniru gambar yang dimuat naik oleh Chloe ketika bapanya meninggal dunia.

Apabila Chloe dan kakaknya, Linzi, cuba mencari jawapan tentang apa yang sedang berlaku, mereka menemui ratusan gambar pelik.

Honey Basra turut didakwa meniru nama Instagram Chloe @chloecowan17xo dengan menggunakan akaun @honeybasra18xo.

Pada Isnin, Linzi memuat naik di Facebook tentang bahaya media sosial bagi memberi amaran kepada orang ramai.

Wanita berusia 27 tahun itu turut menyertakan 40 gambar bagi menyokong dakwaannya dan berkata pihak polis telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

"Tidak tahu di mana untuk memulakannya tetapi saya hanya mahu orang tahu tentang bahaya media sosial.

"Adik saya Chloe belajar di Universiti Dundee dan seorang gadis lain yang tinggal di Dundee telah meniru kehidupannya di Instagram selama hampir dua tahun.

"Tingkah laku gadis ini adalah melampau sehingga sanggup meniru video daripada album foto yang dikongsikan oleh Chloe ketika ayah saya meninggal dunia (ia membuatkan saya seram sejuk apabila saya berfikir tentangnya).

"Gadis ini tidak mengikuti adik saya di media sosial dan telah membuat akaun palsu," katanya.

Dia kemudian menjelaskan, perbuatan Honey Basra sudah terlalu jauh dan Linzi menambah: "Tingkah lakunya tidak baik dan saya hanya mahu orang ramai sedar betapa media sosial yang menakutkan.

"Ajukan adalah satu bentuk pujian tetapi ini sudah terlalu jauh."

Seorang jurucakap universiti mengesahkan bahawa mereka sedang menyiasat dakwaan tersebut.

Jurucakap itu berkata: "Kebajikan semua pelajar Universiti Dundee dianggap penting.

"Kami sedar tentang dakwaan ini dan pasukan Perkhidmatan Pelajar kami dan Persatuan Pelajar Universiti Dundee sedang memberikan bantuan kepada mereka yang terlibat."

Memetik laporan Mirror UK, Honey Basra telah memadam akaun Instagramnya dan tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan penjelasan.

Instagram

Artikel Lain