suria

Sukar cari jodoh di Tinder, lelaki 69 tahun buat permohonan tukar usia

Emile Ratelbland, membuat permohonan untuk mengubah usianya menjadi lebih muda. FOTO: Cen.

SEORANG lelaki berusia 69 tahun membuat permohonan untuk menurunkan usianya kepada 49 bagi menarik lebih ramai wanita menerusi aplikasi cari jodoh, Tinder.

Emile Ratelbland, menerusi permohonan itu berkata, jika golongan transgender dibenarkan mengubah jantina, dia juga berhak untuk menukar usia.

Tambah usahawan itu, dia mendakwa pakar perubatan turut mengesahkan bahawa dia memiliki tubuh individu berusia 45 tahun.

Dia kini mahu memfailkan saman terhadap pihak berkuasa Netherlands selepas mereka menolak permohonannya untuk menukar umur.

Kes itu kini sedang dibicarakan di mahkamah di Arnhmen, Gedlerland.

Dia dilahirkan pada 11 Mac 1949 namun mendakwa terasa 20 tahun lebih muda menyebabkan dia mahu mengubahnya secara rasmi kepada usia 49 tahun.

"Saya telah membuat pemeriksaan dan usia saya secara biologi ialah 45 tahun.

"Tapi sekarang saya 69 tahun, saya rasa semuanya terhad. Bila saya guna aplikasi Tinder dan maklumkan umur 69, saya tak dapat respon.

"Transgender boleh tukar jantina asal sewaktu lahir, jadi ia sepatutnya sama sahaja kalau nak tukar umur," katanya.

Tambahnya lagi, dia turut menerima layanan tidak adil gara-gara usianya yang kini mencecah 69 tahun.

Malah, dia berkata, permohonan itu juga bakal menguntungkan kerajaan kerana mereka tidak perlu membayar pencennya jika dia dibenarkan mengubah usia menjadi lebih muda.-Metro.UK

Emile Ratelbland, Tinder

Artikel Lain