Foto berkaki ayam Meghan dedah dia pernah jalani pembedahan bunion - Dunia | mStar

Foto berkaki ayam Meghan dedah dia pernah jalani pembedahan bunion

Meghan bersama Putera Harry melakukan lawatan ke New Zealand.

MEGHAN Markle telah menjalani pembedahan untuk membuang bunion atau benjolan pada sisi sendi ibu jari kaki secara rahsia, kata seorang pakar bedah.

Duchess of Sussex itu tampil berkaki ayam dalam acara meraikan kedatangan kerabat diraja Britain itu oleh masyarakat Maori di New Zealand pada Rabu.

Bagaimanapun peminat pasangan diraja itu tertumpu kepada bahagian kakinya dan terlihat parut halus di sisi sendi ibu jari kaki kirinya.

Pakar perunding trauma dan pakar bedah ortopedik Hospital BMI Shirley Oaks, Kumar Kunasingam berkata parut itu disebabkan pembedahan membuang tulang yang terbonjol di mana ia amat menyakitkan.

"Ia mengambil masa sehingga tiga bulan sebelum pesakit boleh memakai kasut tumit tinggi semula," katanya.

Sisi sendi ibu jari kaki kiri Meghan menunjukkan ada parut halus.

Meghan amat menggemari kasut tumit tinggi Manolo Blaknik dan mempunyai ribuan koleksi kasut jenama terkenal.

Dia dilaporkan menjalani pembedahan itu pada 2014 selepas mengalami kesakitan akibat bunion selama empat tahun.

Masalah bunion berlaku akibat pemakaian kasut bertumit tinggi, ketat dan runcing di depan.

Pemakaian kasut sedemikian akan menghimpit keseluruhan bahagian depan kaki dan pemakaian yang kerap serta bagi tempoh lama menyebabkan kesakitan saraf.

Kaki yang menghidap masalah bunion boleh dilihat menerusi gejala seperti bonjolan di bahagian luar pangkal ibu jari kaki, kemerahan atau kesakitan di sendi ibu jari kaki, penebalan kulit pada pangkal ibu jari kaki, sel kulit di atas atau di celah jari kaki dan tapak kaki akan mengeras. - Mirror.co.uk

Meghan Markle , bunion

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain