suria

Pesawat langgar tembok, teruskan penerbangan 4 jam dengan badan rosak

Pesawat Boeing 737 mengalami kerosakan selepas ia berlepas dari Trichy. Foto Twitter TARUN SHUKLA

NEW DELHI: Air India pada Jumaat menggantung tugas dua juruterbangnya selepas salah sebuah pesawatnya yang membawa 136 penumpang melanggar tembok perimeter di lapangan terbang.

Ia bagaimanapun meneruskan penerbangan selama hampir empat jam dalam keadaan badan pesawatyang rosak.

Pesawat Boeing 737 mengalami kerosakan semasa ia berlepas dari Trichy di selatan India, dalam penerbangan ke Dubai.

Air India dalam satu kenyataan memberitahu, pegawai di lapangan terbang di negeri Tamil Nadu itu melihat pesawat tersebut mungkin melanggar tembok perimeter lapangan terbang.

"Perkara itu disampaikan kepada juruterbang yang bertugas. Juruterbang berkenaan melaporkan bahawa sistem pesawat beroperasi secara normal dan telah memutuskan untuk melencongkan pesawat ke Mumbai sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.

Pesawat itu mendarat di Mumbai empat jam kemudian dan gambar pesawat yang rosak tular di media sosial selepas ia selamat mendarat.

Kesemua 130 penumpang dipindahkan menggunakan pesawat lain, bagi meneruskan penerbangan ke Dubai.

Air India berkata, kedua-dua juruterbang itu digantung tugas sementara siasatan dijalankan dan insiden itu dilaporkan kepada Ketua Pengarah Penerbangan Awam India untuk siasatan.

"Syarikat penerbangan memberi kerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan," katanya.

Menteri Penerbangan Awam, Suresh Prabhu pada Jumaat berkata, kerajaan telah mengarahkan siasatan bebas terhadap Air India.

Prabhu menerusi Twitter berkata, keselamatan penumpang diutamakan. - AFP

Air India

Artikel Lain