Pramugari dipecat gara-gara dilamar kekasih di dalam pesawat - Dunia | mStar

Pramugari dipecat gara-gara dilamar kekasih di dalam pesawat

LAMARAN kejutan di dalam pesawat nampak romantik tetapi ianya memberikan pengalaman pahit kepada seorang pramugari syarikat penerbangan China Eastern Airlines.

Gara-gara tindakan kekasihnya, pramugari tersebut yang tidak didedahkan namanya berdepan risiko dipecat majikannya.

Pada Mei lalu, video kekasihnya melakukan lamaran kejutan di dalam pesawat menjadi tular di media sosial di China.

Video tersebut dikongsi dalam platform video China, Pear Video pada 19 Mei lalu.

Malah, laman mikroblogging dan platform media sosial China, Weibo turut memuatnaik video tersebut di saluran YouTubenya pada hari yang sama.

Pramugari itu terkejut apabila teman lelakinya melutut dan memintanya menghulurkan tangan sebaik sahaja pesawat dari Xi An menuju Yinchuan baharu  berlepas kira-kira 30 minit.

Masih terkejut dengan tindakan itu, pramugari tersebut turut menggunakan sistem pengumuman dalam pesawat untuk mengucapkan terima kasih kepada penumpang yang bertepuk tangan dan merakam detik romantik mereka.

Namun, syarikat penerbangan China Eastern Airlines telah menghantar surat pemecatan kepada pramugari tersebut, lapor Liaoning STV menerusi Channel 8 Singapura pada 12 September lalu.

Surat pemecatan itu memaklumkan punca dia dipecat adalah kerana lamaran tersebut mengganggu penumpang di dalam pesawat terbabit.

Gangguan sedemikian boleh menjejaskan keselamatan penumpang.

Keputusan syarikat penerbangan itu turut mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan netizen di China.

Sesetengah netizen berpendapat tindakan pemecatannya gara-gara lamaran kejutan itu sebagai tidak berperikemanusiaan.

pramugari , pecat

Artikel Sebelum

Abe dipilih semula presiden parti LDP

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain