suria

Ibu meninggal dunia selepas luah perasaan mengenai kematian anak di Facebook

Posting menyentuh hati Natalie di laman Facebook sebelum ditemui mati keesokan harinya. FOTO:GoFundMe

SEORANG wanita ditemui mati beberapa hari selepas anak perempuannya meninggal dunia dalam satu kemalangan kereta.

Natalie Hood, menerusi laman facebook pada Sabtu membuat posting menyentuh hati sebelum ditemui mati pada Ahad.

"Saya hanya mahu anak perempuan saya kembali," tulisnya ringkas.

Dia ditemui mati di kediamannya di Dover sehari selepas itu. Namun, punca kematiannya masih disiasat dan belum dapat dipastikan.

Anaknya, Casey yang berusia 18 tahun terbunuh dalam satu nahas kereta di Womenswold, Kent pada Jumaat.

Kematian wanita itu setelah beberapa hari kehilangan anaknya ternyata mengundang simpati orang ramai yang turut menghantar mesej sokongan di laman sosial.

"Bersemadilah Natalie, pergi jaga anak kamu Casey di syurga," tulis Charey Hollie.

Sahabat baik keluarga itu yang tidak mahu mendedahkan identitinya berkata, Natalie adalah seorang ibu yang penyayang.

"Dia memang satu dalam sejuta. Hatinya besar dan penuh dengan kasih sayang.

"Dia seorang yang kuat namun dia banyak kehilangan orang yang tersayang sejak dia muda.

"Saya tak boleh bayangkan perasaan sewaktu dia mengetahui kematian anak perempuannya. Saya harap seorang lagi anaknya akan tabah selepas ini," ujar individu tersebut.

Anak Natalie, Kellis yang juga kembar kepada Casey kini hidup sebatang kara tanpa dua individu tersebut.

Malah, tabung GoFundMe juga telah ditubuhkan bagi membantu gadis itu.

"Kellis bukan sahaja kehilangan kembarnya, Casey, malah turut kehilangan ibu.

"Ayuh kita bantu Kellis keluar dari kegelapan ini," ujar sahabat Kellis, Hannah Kelly-Mirror.UK.

kemalangan

Artikel Lain