suria

'Hilang' semua jari kaki selepas ke spa ikan

-foto australscope

SEORANG wanita hilang semua jari kaki kanannya selepas merendamkan kakinya di sebuah spa ikan ketika bercuti di Thailand.

Victoria Curthoys, 29, dari Perth, Australia, mengalami jangkitan tulang di jari kaki kanannya akibat terkena kaca pada tahun 2006.

Selepas menjalani rawatan, doktor memotong bahagian yang terjejas dan dia pulih sepenuhnya, lapor New Zealand Herald.

Pada tahun 2010, Curthoys bercuti ke Thailand dan memutuskan untuk mencuba spa ikan.

Rawatan tersebut, yang popularitinya melonjak sejak sedekad yang lalu mengkehendaki kakinya direndam dalam kolam yang mengandungi beratus-ratus ikan Garra rufa, spesies ikan kecil yang berasal dari sungai, kolam, sungai dan tasik di Asia Barat dan Anatolia.

-foto Getty

Setelah kakinya dimasukkan ke dalam air, ikan-ikan segera berkumpul dan makan tompokan kulit mati di kakinya sehingga licin.

Spa ikan juga dipercayai membantu mengurangkan gejala ekzema dan psoriasis.

Bagaimanapun kolam ikan yang dikunjungi Curthoys telah tercemar dengan penyakit bawaan air yang kemudian menjangkiti bahagian pembedahannya.

Apabila Curthoys pulang ke rumah, dia menderita demam berpanjangan dan diserang penyakit lain. Setelah setahun ujian, seorang doktor akhirnya mendiagnosis dirinya dengan osteomielitis - keadaan serius yang jarang berlaku melibatkan jangkitan tulang.

Dua tahun kemudian, ibu jari kaki kanan Curthoy terpaksa dipotong sepenuhnya.

Walau bagaimanapun, tindakan itu tidak sepenuhnya menghalang jangkitan. Para doktor kemudian memberitahu Curthoys bahawa dia tidak mempunyai pilihan lain selain memotong semua jari di kaki kanannya, satu prosedur yang mengambil masa lima tahun untuk diselesaikan.

"Ketika saya di Thailand saya memutuskan untuk menggunakan spa ikan. Saya tak fikir apa-apa kerana saya tengok pemilik menubuhkan sistem itu dan ia kelihatan sangat bersih, tapi saya salah," kata Curthoys, menurut Metro.

"Saya akhirnya mendapat satu lagi jangkitan tulang di ibu jari kaki dan doktor mengambil masa selama setahun untuk mengetahui apa yang tak kena dengan keadaan saya."

"Pada saat mereka menyedari apa sebenarnya berlaku, seluruh tulang jari kaki saya telah dijangkiti dan saya mengalami kesakitan sepanjang masa."

-foto australscope

Jari kaki terakhir Curthoys dipotong pada November tahun lepas. Sejak itu, dia telah berkongsi gambar-gambar kakinya dalam talian untuk memberi kesedaran kepada orang lain mengenai bahaya spa ikan.

"Saya boleh katakan bahawa kaki saya tidak pernah sihat seperti sekarang. Sekarang saya boleh meletakkan tekanan pada kaki saya," kata Curthoys.

"Saya bagaimanapun sedar ramai yang mengalami kecederaan yang jauh lebih teruk dan penyakit yang mengubah hidup, jadi saya anggap diri saya bertuah.

"Dengan mengambil gambar kaki saya dan menyiarkannya di Instagram saya berharap dapat membina keyakinan diri dan memberi impak positif kepada orang lain yang mungkin tidak gembira dengan keadaan kaki mereka selepas dipotong," katanya.

Kisah Curthoys adalah yang terbaru dalam kecederaan disebabkan oleh spa ikan.

Walaupun amalan semakin terkenal pada akhir tahun 2010, ia kini semakin diragui kerana kebimbangan kesihatan dan kebajikan haiwan.

spa ikan, potong jari, jangkitan

Artikel Lain