suria

Taufan 'Telan' gusarkan penduduk Jepun

TOKYO : Jepun telah mengeluarkan nasihat supaya hampir 300,000 penduduk berpindahdan membatalkan ratusan penerbangan berikutan angin kencang dan hujan lebat akibat ketibaan Taufan Jebi di utara negara itu.

Jebi yang bermaksud ‘telan’ dalam bahasa Korea ialah insiden cuaca buruk terbaru melanda Jepun pada musim panas kali ini selepas hujan lebat, tanah runtuh, banjir dan musim panas melampau sehingga meragut ratusan nyawa.

Taufan itu melalui bahagian barat Jepun dan dijangka melanda Shikoku iaitu pulau terkecil di rantau itu sebelum menuju arah Honshu dan Osaka, bandaraya kedua terbesar negara berkenaan hari ini.

Nasihat berpindah itu dikeluarkan kepada hampir 280,000 penduduk berikutan keadaan angin dan hujan yang semakin buruk.

Selain itu, visual televisyen pula memaparkan keadaan laut semakin bergelora dan amaran ombak besar dijangka melanda hari ini.

Jabatan kaji cuaca melaporkan, kelajuan angin mencecah 166 kilometer sejam (km/h) direkodkan di Shikoku dan dijangka mencapai kelajuan maksimum sebanyak 216 km/sejam.

Pihak berkuasa juga terpaksa membatalkan hampir 600 penerbangan, selain sejumlah besar perjalanan membabitkan feri dan kereta api.

Turut terjejas ialah operasi kereta api laju dan taman tema Universal Studios yang terpaksa ditutup buat sementara. - Reuters


Jepun, Jebi

Artikel Berikut

Artikel Lain