suria

Gadis tembak muka sendiri terima wajah baharu

Imej sebelum dan selepas gadis itu menjalani pembedahan pemindahan wajah. Foto- Cleveland Clinic

SEORANG gadis berusia 21 tahun menjadi individu termuda di Amerika Syarikat (AS) yang menjalani pemindahan wajah, tiga tahun selepas menembak muka sendiri dalam satu cubaan bunuh diri.

Katie Stubblefield mendedahkan kisahnya itu menerusi saluran National Geographic dan menggambarkan wajah baharunya sebagai satu lagi peluang untuk hidup.

"Saya bagaikan mendapat nyawa kedua sekarang," ujarnya ringkas dalam rancangan itu.

Setelah menembak muka sendiri menerusi cubaan bunuh diri pada Mac 2014 di Mississippi, dia dibawa ke hospital di Oxford, Memphis, Tennessee, Clevelend dan seterusnya dipindahkan ke Ohio bagi menyelamatkan nyawanya.

Katie bersama ibu bapanya setelah menerima wajah baharu.

Dua tahun selepas itu, keadaan kesihatannya diisythiharkan stabil.

Pada 2017, dia menjalani pembedahan selama 31 jam bagi pemindahan wajah dan pemasangan struktur wajah baharu sekaligus membolehkan dia mengunyah, menelan dan bernafas buat pertama kali selepas cedera teruk menerusi insiden pada 2014.

Dalam pembedahan itu, Katie menerima wajah seorang wanita yang mati akibat pengambilan dadah berlebihan.

Katie merupakan individu ke 40 di dunia yang menerima pemindahan wajah dan menjadi yang ketiga menjalani rawatan itu di AS.

Namun, dia bukan sahaja mencatat rekod sebagai individu termuda menjalani rawatan itu, malah direkodkan sebagai pembedahan pemindahan wajah paling lama di dunia.

Dalam pada itu, menerusi temu bual bersama National Geographic, saudara terdekat Katie menggambarkan dia sebagai seorang gadis yang ceria.

Namun, kerana tekanan dan putus cinta, dia melakukan cubaan bunuh diri sehingga merosakkan hampir keseluruhan wajahnya. - DailyMail

Artikel Lain