Seorang guru, 55 murid di sekolah tanpa tandas - Dunia | mStar

Seorang guru, 55 murid di sekolah tanpa tandas

HANYA seorang guru dalam satu bilik yang menempatkan 55 murid, itulah situasi di sebuah sekolah di Faizabad, Uttar Pradesh.

Semua pelajarnya dari kelas pertama hingga ke lapan terpaksa bersesak dalam satu-satunya kelas yang ada di sekolah itu, lapor agensi berita ANI.

Guru tunggal di sekolah rendah itu, Mukesh Kumar Yadav berkata, semua anak muridnya belajar dalam sebuah kelas kerana tiada lagi bilik yang dapat digunakan.

Jelas guru itu lagi, sekolah berkenaan juga tidak dilengkapi dengan kemudahan tandas, kipas atau bekalan air bersih.

"Keadaan ini menyukarkan pelajar untuk menimba ilmu," katanya.

Mukesh berkata, beliau telah cuba menemui pihak berkuasa di bandar itu bagi memperbaiki situasi sekolah berkenaan, bagaimanapun belum mendapat maklum balas mereka.

Ditanya bagaimana sekolah itu masih dapat beroperasi dalam keadaan serba kekurangan, Mukesh berkata, dia melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin sebagai seorang guru kepada semua murid di sekolah itu.-IndiaToday

Faizabad , Mukesh

Artikel Berikut

Artikel Lain