suria

Duterte sedia undur jika ramai wanita bantah ciumannya

MANILA: Presiden Filipina Rodrigo Duterte mempertahankan tindakannya mencium seorang wanita yang sudah berumah tangga di Korea Selatan dan bersedia melepaskan jawatan sekiranya ramai wanita yang tersinggung memfailkan petisyen supaya dia berundur.

Duterte menyifatkan ciuman itu sebagai hiburan semata-mata yang bertujuan menghiburkan kumpulan ekspatriat Filipina dalam sebuah majlis di Hotel dan Pusat Konvensyen Grand Hilton pada Ahad.

"Jika cukup ramai wanita yang...Saya rasa kalau semua wanita di sini menandatangani petisyen supaya saya melepaskan jawatan, saya akan berundur," ujar Duterte kepada media pada Selasa malam sekembalinya dari lawatan rasmi ke negara itu.

Terdahulu, warga maya dikejutkan dengan penularan foto dan video Duterte mencium seorang wanita di atas pentas sebagai pertukaran selepas wanita itu menerima buku yang diberikan olehnya.

Menurut Duterte, mencium wanita adalah gayanya sewaktu dia menjadi Datuk Bandar di Danvao City selama 22 tahun.

"Sewaktu berkempen ketika menjadi Datuk Bandar, saya mencium setiap wanita di sana. Mulut ke mulut.

"Masalahnya anda tidak kenal saya," ujar presiden berusia 73 tahun itu.

Dia sebelum ini pernah terpalit dengan kontroversi melibatkan kaum wanita termasuklah membuat lawak mengenai rogol secara terbuka.

Penganjur hak wanita di Filipina baru-baru ini turut melancarkan kempen atas talian #BabaeAko (Saya Seorang Wanita) bagi menyampaikan mesej bahawa mereka menentang kenyataan berbaur seksis oleh Duterte.

Presiden penasihat undang-undang, Salvador Panelo pada Rabu menyifatkan ciuman Duterte menunjukkan kasih sayang, karakter kebapaan dan wanita itu kelihatan menikmati saat dia dicium.

"Dia melakukannya dengan rela dan teruja, dia kelihatan gembira," ujarnya kepada saluran berita ANC.

Sementara itu, wanita yang dicium Duterte menyifatkan tindakan itu tidak berniat jahat.

Dalam temu bual yang disiarkan pada Isnin, Bea Kim yang bekerja di Korea Selatan selama tujuh tahun mengaku gembira dapat bertemu dengan presiden.

"Saya tak dapat menerangkannya. Saya macam gugup, takut, teruja, bersyukur. Saya gembira kerana ia adalah pengalaman sekali dalam seumur hidup, bukan? Malah di Filipina pun, dah lama tak tengok presiden dengan begitu dekat.

"Sumpah, bagi saya dan Presiden Duterte, itu tidak bermaksud apa-apa," ujar Kim menerusi video Philippine News Agency (PNA).

Duterte, cium

Artikel Lain