suria

Angka kematian akibat Ebola meningkat di Congo

Gambar hiasan.

KINSHASA: Angka kematian akibat Ebola meningkat kepada 12 orang di Republik Demokratik Congo selepas seorang lagi mangsa yang disahkan dijangkiti wabak itu meninggal dunia, kata Kementerian Kesihatan negara itu pada Ahad.

Kenyataan kementerian itu menyebut kematian terbaru berlaku di Iboko, sebuah kawasan luar bandar yang terletak di barat laut wilayah Equateur.  

Menurut kenyataan itu, terdapat empat lagi kes yang disyaki dijangkiti wabak Ebola di wilayah tersebut.  

Congo kini mempunyai 35 kes Ebola yang telah disahkan.  

Pekerja kesihatan telah mengenal pasti mereka yang bersentuhan dengan mangsa kes Ebola di tiga kawasan luar bandar dalam wilayah Equateur iaitu Bikoro, Iboko dan Mdbandaka, ibu kota wilayah itu yang dihuni sejumlah 1.2 juta orang serta merupakan hab pengangkutan di Sungai Congo.  

Menteri Kesihatan Congo, Oly Ilunga, telah berkunjung ke Bikoro dan Iboko untuk meninjau pekerja kesihatan dalam usaha mengesan mereka yang bersentuhan dengan mangsa kes Ebola serta menyuntik mereka dengan vaksin percubaan baharu menerusi kempen vaksinasi di kawasan luar bandar yang bermula pada Isnin. 

Ilunga diiringi wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan UNICEF (Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu). - Bernama

Ebola

Artikel Lain