Pelajar Madrasah Resah, Komputer Riba Hilang Sebelum Peperiksaan Akhir - Dunia | mStar

Pelajar Madrasah Resah, Komputer Riba Hilang Sebelum Peperiksaan Akhir

SEMINGGU sebelum peperiksaan umum berasaskan komputer berlangsung, Madrasah Tsanawiyah al Falah di Penjaringan, Jakarta Utara berdepan masalah apabila 40 komputer ribanya dicuri.

Perompak dilaporkan memecah masuk bilik simpanan komputer riba yang dipinjamkan kepada pelajar dan guru itu.

"Semuanya telah hilang," kata guru yang dikenali sebagai Thohir seperti mana dipetik kompas.com.

Menurutnya, pihak madrasah itu kini lebih memberi tumpuan untuk mencari jalan untuk memastikan semua 109 pelajarnya dapat menduduki peperiksaan akhir.

"Kami sedang berusaha untuk mencari penyelesaian," tambahnya.

Sementera itu, seorang lagi guru yang dikenali sebagai Umar yang juga bendahari madrasah itu berkata, Kementerian Hal Ehwal Agama berjanji semua pelajar al Falah boleh menduduki peperiksaan itu.

Besar kemungkinannya pelajar berkenaan akan ke sekolah lain untuk menjawab soalan peperiksaan atau menggunakan komputer riba baru yang disediakan pihak kementerian.

"Saya telah minta ibu bapa pelajar supaya tunggu pengesahan kementerian mengenai kejadian itu," katanya.

Ketua Polis Penjaringan, Mustakim berkata, pegawainya telah menyoal siasat beberapa guru dan penduduk setempat berhubung kes itu.-TheJakartaPost

al Falah , Penjaringan

Artikel Sebelum

Artikel Lain